Perghdotcom Battle Showcase

Siapa kata Malaysia tak ada talent? Blog ini mempamerkan hasil seni artis-artis komik Malaysia yang terbit dari pertandingan merekabentuk semula watak-watak yang dianjurkan oleh Pergh!, komuniti online artis-artis komik Malaysia.

Archive for December, 2007

013: Savage Dragon

Monday, December 31st, 2007

013-original

Savage Dragon ™ dan (c) Erik Larsen

Savage Dragon adalah watak komik ciptaan Erik Larsen di bawah naungan Image Comics. Seperti kebanyakkan watak-watak ciptaan Erik Larsen, Savage Dragon dicipta ketika Erik masih di bangku sekolah. Kuasa Savage Dragon merangkumi kekuatan luar biasa serta kemampuan pulih semula yang tinggi. Watak ini dipilih kerana keunikan rupa fizikalnya yang kerap kali dijukstaposisikan dengan latar belakang kehidupan banda seharian yang normal.

Sayembara ini telah berlangsung dari 3 November hingga 9 November 2007

Pemenang Utama: Sivage Dragon oleh Silentgecko

013-winner-silentgecko

Silentgecko jelas telah menyimpan kuku selama ini, dan sekarang melampiaskan semua aura-aura kehebatan dengan merekabentuk semula Savage Dragon menjadi Sivage Dragon! Hanya dengan misai dan cermin mata hitam yang menjadi trademark Sivaji dan rupa jiwa Savage Dragon lengkap dengan highlight dan pencahayaan ambien, Silentgecko menggabungkan dua dunia menghasilkan satu seni yang tak mampu ditandingi di perghdotcom.

Pilihan Editor: Lagi sekali teman dengor… oleh Invictus

013-invictus

Rekaan Invictus mengambil sempena buah naga sebagai analogi visual dan tekstual, yang mana dapat diperhatikan dari rupa dan juga dialog illustrasinya. Kalau dikupas mungkin kita boleh nikmati isinya yang lemak manis? Melawok aje!

Pilihan Editor: Savage Drag Queen oleh Bohrtaag

013-bohrtaag

Gah! Savage sungguh, meremang bulu tengkuk bila ditenung lama-lama. Barangkali inilah gabungan komik Savage Dragon dengan filem Miss Congeniality! Walaupun tidak berjaya mencuit hati pengundi, sekurang-kurangnya bohrtaag berjaya mencuit hati pembaca!

Pilihan Editor: Savage Dragon 2008 oleh Skynet

013-skynet

Ada sesuatu yang menarik pada rekabentuk Skynet ini, biarpun hanya menggunakan sketsa hitam putih sahaja. Mungkin aura-aura Dragonball Z yang digabungkan secara sengaja atau tak sengaja. Apa-apa pun, lorekan pensilnya yang tertumpu kepada keperincian tertentu berjaya menjustifikasi rekaannya.

Pilihan Editor: Savage Punk oleh TakoyakiChan

013-takoyakichan

TakoyakiChan menyampaikan mesej yang mudah dan ringkas: “Walaupun anda kaki punk, jauhilah dari dadah!”. Illustrasi nya begitu menghantui sesiapa yang melihatnya bagaikan ada mesej terselirat. Amacam, ada rasa nak berhenti? :D

17 Penyertaan Keseluruhan: stingray_flyz, dwen_ke70 (2), Tarakucha (2), Tangh, Skynet, TakoyakiChan, Kimball, d4z, Bohrtaag, azarimy, azharmaa, Phoenix Tido, Silentgecko, Invictus dan IceSoul.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 013

012: Danny Phantom

Monday, December 31st, 2007

012-original

Danny Phantom (c) Billionfold Studios ciptaan Butch Hartman

Danny Phantom adalah watak kartun animasi yang popular di Nickelodeon, berkisar mengenai seorang budak 14 tahun yang bertukar menjadi separuh manusia separuh hantu. Sungguhpun panik, Danny akhirnya menerima hakikat kuasanya dan menjiwai diri sebagai seorang superhero.

Sayembara ini telah berlangsung dari 27 Oktober hingga 3 November 2007.

Pemenang Utama: Danny Painted oleh Little_z3dD

012-winner-z3dd

Little_z3dD tidak berfikir panjang untuk meninggalkan peserta lain jauh di belakang. Dengan pencahayaan yang dinamik dan teknik persembahan yang kemas, z3dD berjaya menjiwai watak Danny Phantom ini. Malah ramaipun bersetuju apabila mengundi z3dD sebagai pemenang!

Pilihan Editor: Danny Dark Phantom oleh Silentgecko

012-silentgecko

Silentgecko juga tidak ketinggalan mempersembahkan Dark Phantomnya dalam versi catan digital, memberikan persaingan yang hebat kepada Little_z3dD. Malah aksi dinamik yang dipaparkan dapat mengenengahkan watak lincah Danny Phantom, apatah lagi bila direncahkan dengan aura darknya.

Pilihan Editor: Danny the Phantom oleh Kimball

013-kimball

Kimball tanpa ragu-ragu mempersembahkan Danny versi The Phantom, watak komik yang pernah popular dalam akhbar harian Bahasa Inggeris sekitar 80an dan 90an. Mungkin inilah rupa Danny bila sudah meningkat dewasa, gagah perkasa menentang kejahatan, dipersembahkan oleh Kimball ala watak StreetFighter.

Pilihan Editor: Danny Pixel Rider oleh kromosom

012-kromosom

Sekali imbas pasti ada yang terpikat untuk mencuri Danny Pixel Rider kromosom untuk dijadikan ikon di desktop atau mouse pointer di komputer masing-masing!

Pilihan Editor: Danny X-Factom oleh Skynet

012-skynet

Danny X-factor! Oh yeah! Guano demo? Bagai terngiang-ngiang dialek Kelantan Danny apabila melihat rendisi Skynet kali ini. Mungkin lebih hebat kalau kita boleh menikmati seluruh kumpulan X-Factor digarap dalam persembahan ini, tak gitu Skynet?

18 Penyertaan Keseluruhan: d4z, Kimball (2), Hamzi, azarimy, Orang diam2, Tanglong, GRINDSICKTANICS (2), kromosom, stingray_flyz, Silentgecko, Skynet, Little Z3dD, Tarakucha, Dwen_ke70, Bickbong dan IceSoul.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 012

011: The Bride

Thursday, December 20th, 2007

011-original

The Bride (c) Miramax Studios

Ayuh ramai-ramai bunuh Bill! Atau lebih tepat lagi, ramai-ramai bunuh The Bride! Jalan ceritanya mudah, tapi garapan Quentin Tarantino yang banyak memberi tribut kepada filem-filem pertarungan karya Jepun, Korea dan HongKong berjaya melahirkan watak utama yang unik. Sayembara kali ini mengupas watak The Bride untuk melihat apakah hasil terakhir Quentin Malaysia pula.

Sayembara ini telah berlangsung dari 19 Oktober hingga 26 Oktober 2007

Pemenang Utama: HeartBreaker oleh popiaman

011-winner-popiamann

Kegigihan popiaman ternyata berbaloi apabila karyanya berjaya memikat hati majoriti pengundi. The HeartBreaker berjaya menyelami watak The Bride secara abstrak dan juga literal, yang mana dari setiap inci figura HeartBreaker kita akan dapat memahami cerita di sebaliknya, pertempuran yang diharunginya dan jiwanya yang bergolak. Penggunaan teknik catan digital yang menerapkan tekstur yang terperinci menghidupkan lagi persembahannya.

Pilihan Editor: The Killer Bride oleh Vulpine Ninja

011-vulpine ninja

Jiwa resah dan pasrah pengantin jelas tergambar dalam nukilan Vulpine Ninja ini. Tanpa perlu menggunakan warna, kita dapat mengecapi pergolakkan dalam jiwa The Bride, mungkin kerana perasaan amarahnya terhadap Bill yang mengganggu majlis raja/permaisuri seharinya.

Pilihan Editor: Kill Jill oleh azarimy

011-azarimy

Sebelum The Bride tamat sekolah dia dah buat perangai macam-macam sebenarnya. Dengan menggunakan highlight hanya kepada watak The Bride, azarimy mencipta fokus serta membezakan yang baik dengan yang jahat, protagonis dan antagonis. Dan mungkin libasan merah menggambarkan konfrontasi antara keduanya.

Pilihan Editor: Devil May Bride oleh kromosom

011-kromosom

Ahh, Medusssa, kau kembali menghantui hidupku! Permainan warna yang terkawal oleh kromosom dengan komposisi offset ke kanan lukisan menampilkan persembahan yang unik, terutamanya kesan aura yang terbit dari watak Devil May Bridenya. Halus, suram, seram, tetapi air yang tenang jangan disangka tiada buaya…. err… ular!

Pilihan Editor: Corpse Bride oleh Bohrtaag

011-bohrtaag

Lain kali, kalau nak bunuh The Bride, pancung kepala dia! The Bride karya Bohrtaag bangkit dari kubur, mungkin setelah tewas di tangan salah seorang asasin upahan Bill, dan kerana dendamnya yang membara dia masih lagi ketagihkan darah Bill! Dengan percikan-percikan darah, luka dan kecederaan dari pertarungan lepas cukup untuk menimbulkan suasana seram ala The Living Dead!

Pilihan Editor: Tanpa Tajuk oleh Hamzi

011-hamzi

Meditasi sebelum berjuang, mungkin itulah yang tergambar di sanubari The Bride garapan Hamzi. Tekniknya bersahaja, dengan lakaran-lakaran kasar sengajar dibiarkan timbul di atas warna-warna suggestif. Ia menggambarkan konflik di antara warna suram yang mungkin menggambarkan ketenangan meditasi The Bride, dengan larikan-larikan kasar yang bergetar di hadapan medan perang.

7 Penyertaan Keseluruhan: azarimy, Vulpine Ninja, kromosom, popiaman, Bohrtaag, Tangh dan Hamzi.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 011

010: Maskot Raya Pergh

Thursday, December 20th, 2007

Battle kali ini menandakan genapnya 10 minggu pertarungan mengasah daya inovasi masing-masing. Jadi untuk menyambut landmark ini serta menyambut bulan Ramadan dan kedatangan Syawal, apa kata kita ketepikan seketika daya inovasi dan mengasah kekuatan kreativiti pula!

Selama ni Pergh ada Maskot, tapi untuk sambutan raya ni, terpulang kepada individu masing2 samada nak guna semula Maskot yang ada atau nak reka Maskot baru yang khusus untuk sambutan raya Pergh. Rupa Maskot adalah bebas, tetapi haruslah bertemakan Hari Raya Aidilfitri. Terpulang kepada kreativiti masing2 untuk membuat lukisan persembahan yang sesuai, samada dalam bentuk poster, painting, kad raya dan sebagainya.

Pemenang Utama: Kassim Ketupants dan Wajik oleh Bohrtaag

010-winner-bohrtaag

Mari nyanyi ramai-ramai! “Kas-sim Ketu-pants! Kas-sim Ketu-pants!”. Lengkap dengan Wajik dan rumah buluh lemang, Bohrtaag berjaya mencuit hati ramai dengan menggabungkan watak kartun kanak-kanak popular Spongebob Squarepants dengan juadah yang sememangnya sinonim dengan fiesta hari raya.

Pilihan Editor:

010-nusantarian

Nusantarian dengan bersahaja mencurahkan idea inovatifnya dengan bermain dengan logo komuniti perghdotcom beserta dengan warna temanya. Hasilnya satu maskot yang ikonik dan mudah diasosiasikan dengan komuniti ini.

4 Penyertaan Keseluruhan: Bohrtaag, Nusantarian dan stingray_flyz (2). (Nota: Penyertaan kali ini amat rendah kerana kebanyakkan peserta bercuti raya)

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 010

009: Sadako

Thursday, December 20th, 2007

009-original

Pertarungan minggu ini, di bawah kategori watak-watak filem dan TV, adalah pertarungan merekasemula watak Sadako dari filem Ringu (The Ring). Semua orang kenal dengan Sadako bagaikan jiran mereka sendiri, bukan? Dan ada yang menyampah dekat ex-boyfriend masing-masing sehingga sanggup hantar Sadako untuk menghantui mereka? Sayembara kali ini membuka peluang untuk para peserta tunjukkan bakat dalam mereka bentuk Sadako kegemaran masing-masing!

Namun begitu, sayembara kali ini membawa satu peraturan tambahan - hanya karya monokrom sahaja dibenarkan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lagi penyertaan dari artis-artis baru yang kurang mahir dalam mewarna atau catan. Sayembara ini telah berlangsung dari 22 September hingga 28 September 2007.

Pemenang Utama: Sadamatrixko oleh kromosom

009-winner-kromosom

Kalaulah kita boleh tukar watak Trinity dalam The Matrix dengan Sadako, mungkin kita akan berupaya menonton filem tersebut dalam genre scifi-seram pula! Rekabentuk Sadako oleh kromosom ini mengingatkan kita kepada watak Ghost  (Dark Horse Comics) yang pernah dipopularkan oleh Adam Hugh, namun ia tetap mengekalkan keunikan teknik dan gaya lukisan kromosom.

Pilihan Editor: Sadakoro oleh Leydi

009-leydi

Seperti kata-kata yang terpahat oleh Leydi sendiri, “tak seram langsung!”. Tetapi tak ada siapa yang boleh menafikan tujahan-tujahan jenaka yang menggerudi rusuk masing-masing apabila terbayang Sadako berambut afro. Sadako sendiri bagaikan tak percaya!

Pilihan Editor: Sadako-Pingu oleh Sapot_poleng

009-sapot poleng

Sadako Pingu? Alahai comelnya! Gayanya bersahaja, tetapi ideanya begitu mencuit hati. Mana sajalah kau korek idea ni, Sapot_poleng?

Pilihan Editor: Sadako Lidah oleh Invictus

009-invictus

Waargh! Invictus telah berjaya menangkap aura alam angker yang begitu efektif sekali dalam rendisinya kali ini. Garit-garit dakwat yang cermat membentuk tekstur yang begitu menyakinkan, menyebabkan sesiapa yang terpandang akan pasti terasa gerunnya.

27 Penyertaan Keseluruhan: Skynet, garagerock, dwen_ke70 (2), thirtynine, kromosom, narami_san, d4z, stingray_flyz, GRINDSICTANICS, bickbong, azarimy, mat spawn, Leydi, Bohrtaag, Orang diam2 (2), shahrulyusof, sapot_poleng (2), loque, invictus (2), ajinda dan Nusantarian (2).

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 009