Perghdotcom Battle Showcase

Siapa kata Malaysia tak ada talent? Blog ini mempamerkan hasil seni artis-artis komik Malaysia yang terbit dari pertandingan merekabentuk semula watak-watak yang dianjurkan oleh Pergh!, komuniti online artis-artis komik Malaysia.

Archive for December, 2007

010: Maskot Raya Pergh

Thursday, December 20th, 2007

Battle kali ini menandakan genapnya 10 minggu pertarungan mengasah daya inovasi masing-masing. Jadi untuk menyambut landmark ini serta menyambut bulan Ramadan dan kedatangan Syawal, apa kata kita ketepikan seketika daya inovasi dan mengasah kekuatan kreativiti pula!

Selama ni Pergh ada Maskot, tapi untuk sambutan raya ni, terpulang kepada individu masing2 samada nak guna semula Maskot yang ada atau nak reka Maskot baru yang khusus untuk sambutan raya Pergh. Rupa Maskot adalah bebas, tetapi haruslah bertemakan Hari Raya Aidilfitri. Terpulang kepada kreativiti masing2 untuk membuat lukisan persembahan yang sesuai, samada dalam bentuk poster, painting, kad raya dan sebagainya.

Pemenang Utama: Kassim Ketupants dan Wajik oleh Bohrtaag

010-winner-bohrtaag

Mari nyanyi ramai-ramai! “Kas-sim Ketu-pants! Kas-sim Ketu-pants!”. Lengkap dengan Wajik dan rumah buluh lemang, Bohrtaag berjaya mencuit hati ramai dengan menggabungkan watak kartun kanak-kanak popular Spongebob Squarepants dengan juadah yang sememangnya sinonim dengan fiesta hari raya.

Pilihan Editor:

010-nusantarian

Nusantarian dengan bersahaja mencurahkan idea inovatifnya dengan bermain dengan logo komuniti perghdotcom beserta dengan warna temanya. Hasilnya satu maskot yang ikonik dan mudah diasosiasikan dengan komuniti ini.

4 Penyertaan Keseluruhan: Bohrtaag, Nusantarian dan stingray_flyz (2). (Nota: Penyertaan kali ini amat rendah kerana kebanyakkan peserta bercuti raya)

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 010

009: Sadako

Thursday, December 20th, 2007

009-original

Pertarungan minggu ini, di bawah kategori watak-watak filem dan TV, adalah pertarungan merekasemula watak Sadako dari filem Ringu (The Ring). Semua orang kenal dengan Sadako bagaikan jiran mereka sendiri, bukan? Dan ada yang menyampah dekat ex-boyfriend masing-masing sehingga sanggup hantar Sadako untuk menghantui mereka? Sayembara kali ini membuka peluang untuk para peserta tunjukkan bakat dalam mereka bentuk Sadako kegemaran masing-masing!

Namun begitu, sayembara kali ini membawa satu peraturan tambahan - hanya karya monokrom sahaja dibenarkan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lagi penyertaan dari artis-artis baru yang kurang mahir dalam mewarna atau catan. Sayembara ini telah berlangsung dari 22 September hingga 28 September 2007.

Pemenang Utama: Sadamatrixko oleh kromosom

009-winner-kromosom

Kalaulah kita boleh tukar watak Trinity dalam The Matrix dengan Sadako, mungkin kita akan berupaya menonton filem tersebut dalam genre scifi-seram pula! Rekabentuk Sadako oleh kromosom ini mengingatkan kita kepada watak Ghost  (Dark Horse Comics) yang pernah dipopularkan oleh Adam Hugh, namun ia tetap mengekalkan keunikan teknik dan gaya lukisan kromosom.

Pilihan Editor: Sadakoro oleh Leydi

009-leydi

Seperti kata-kata yang terpahat oleh Leydi sendiri, “tak seram langsung!”. Tetapi tak ada siapa yang boleh menafikan tujahan-tujahan jenaka yang menggerudi rusuk masing-masing apabila terbayang Sadako berambut afro. Sadako sendiri bagaikan tak percaya!

Pilihan Editor: Sadako-Pingu oleh Sapot_poleng

009-sapot poleng

Sadako Pingu? Alahai comelnya! Gayanya bersahaja, tetapi ideanya begitu mencuit hati. Mana sajalah kau korek idea ni, Sapot_poleng?

Pilihan Editor: Sadako Lidah oleh Invictus

009-invictus

Waargh! Invictus telah berjaya menangkap aura alam angker yang begitu efektif sekali dalam rendisinya kali ini. Garit-garit dakwat yang cermat membentuk tekstur yang begitu menyakinkan, menyebabkan sesiapa yang terpandang akan pasti terasa gerunnya.

27 Penyertaan Keseluruhan: Skynet, garagerock, dwen_ke70 (2), thirtynine, kromosom, narami_san, d4z, stingray_flyz, GRINDSICTANICS, bickbong, azarimy, mat spawn, Leydi, Bohrtaag, Orang diam2 (2), shahrulyusof, sapot_poleng (2), loque, invictus (2), ajinda dan Nusantarian (2).

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 009

008: Sang Kelembai

Wednesday, December 19th, 2007

Siapakah Sang Kelembai? Sang Kelembai atau juga dikenali sebagai Sang Gedembai adalah sejenis makhluk gergasi yang mengikut dongeng Melayu tinggal di dalam hutan jauh dari penempatan manusia. Sang Kelembai hidup tersisih kerana sumpahan yang menghantuinya - setiap benda yang ditegurnya akan bertukar menjadi batu. Namun ada juga yang mengatakan ia bukannya sumpahan, tetapi anugerah. Macam cerita super hero pulak!

Sayembara ini mengimbau imaginasi peserta untuk membayangkan Sang Kelembai mengikut dongeng Melayu. Tiada gambaran awal untuk sayembara kali ini, dan semuanya berdasarkan kemampuan peserta untuk membuat kajian masing-masing terhadap subjek ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 14 September hingga 21 September 2007.

Pemenang Utama: Gedembai Emo oleh kromosom

08-winner-kromosom

Dengan menggunakan palet yang mudah, kromosom menyandarkan rekabentuk Sang Gedembai yang emosional. Kesedihan tergambar jelas di raut wajahnya, berjuxtaposisi dengan susuk tubuh yang gagah dengan lipatan kerak-kerak otot yang bersimpang siur. Gradien warna yang digunakan juga menambahkan lagi impak emosi suram pada karyanya ini.

Pilihan Editor: Siti Kelembai oleh Tangh

08-tangh

Tangh akhirnya menunjukkan taringnya dengan persembahan ala komik yang ringkas tetapi padat. Tak perlu dialog, tak perlu narasi. Hanya memek muka dan gerak tubuh menyampaikan cerita.

Pilihan Editor: Kelembaiku oleh popiaman

08-popiaman

Amarah dengan gegak gempita Sang Kelembai popiaman menyerbu keluar dari paparan skrin anda! Rekabentuk nukilan popiaman ini menonjolkan Sang Kelembai yang mungkin dipengaruhi makhluk siklop dari mitologi greek, tetapi tidak kurang impaknya dengan aksi pergerakkan yang menarik.

Pilihan Editor: Dark Kelembai oleh invictus

08-invictus

Ini pula adalah Sang Kelembai ala nenek kebayan. Namun invictus menyuntik elemen seram ke dalam rekabentuknya, menghasilkan Dark Kelembai. Penggunaan warna-warna gelap yang kontras dan disandarkan dengan warna latar belakang menguatkan lagi ambiens Dark Kelembai ini.

12 Penyertaan Keseluruhan: dwen_ke70 (2), Tangh, kromosom, Leydi, narami_san, d4z, Terrible Shogun, stingray_flyz, bickbong, popiaman dan invictus.

Untuk melihat penyertaan keseluruhan: Topik Undian 008