Perghdotcom Battle Showcase

Siapa kata Malaysia tak ada talent? Blog ini mempamerkan hasil seni artis-artis komik Malaysia yang terbit dari pertandingan merekabentuk semula watak-watak yang dianjurkan oleh Pergh!, komuniti online artis-artis komik Malaysia.

Archive for December, 2007

007: Motoko Kusanagi

Wednesday, December 19th, 2007

07-original

Ghost in the Shell ™ dan (c) Masamune Shirow

Motoko Kusanagi adalah watak utama dalam franchais Ghost in the Shell ciptaan Masamune Shirow. Filem anime bergenre cyberpunk ini sendiri begitu berpengaruh hingga menjadi sumber inspirasi utama filem trilogi The Matrix dan pelbagai lagi filem-filem seangkatan dengannya. Major Kusanagi sendiri diiktiraf sebagai salah satu watak anime paling popular di dunia, dan kali ini angkatan pejuang perghdotcom berpeluang untuk bergurau senda di bawah tinta pena masing-masing.

Sayembara kali ini menjanjikan persaingan sengit penuh aksi, bak kata Bohrtaag, “Senjata berat! Robot! Wanita! Robot bertubuh wanita! Semuanya ada di sini!” :D.

Pemenang Utama: Kusanagi 2.0. oleh Adijin

07-winner-adijin

Adijin tidak memberi peluang banyak kepada pesaing-pesaingnya kali ini dengan mempersembahkan Major Kusanagi yang psaikedelik. Elemen-elemen sibernetik yang bergelumang dengan otot dan organ biologikal digarap dengan teknik warna neon membuatkan Major Kusanagi bagaikan menggamit pembaca untuk mengundinya!

Pemenang Utama: GITS MGS oleh kromosom

07-winner-kromosom

Karya kromosom mengamalgamasikan Major Motoko dengan pengaruh elemen-elemen dari game Metal Gear Solid. Komposisinya begitu teratur, seimbang dan dinamik tanpa perlu hiasan dan tempelan remeh menegaskan elemen-eleman mekanikal yang terperinci.

Pilihan Editor: Matrigal Kusanagi oleh azarimy

07-azarimy

Berasaskan latar belakang yang gelap, azarimy menghasilkan keperincian karyanya dengan menimbulkan warna-warna terang dan kontras. Permainan cahaya memainkan peranan penting dalam menjana ilusi klaustrofobik dengan wayar, paip dan sampah sarap yang berselirat.

6 Penyertaan Keseluruhan: tarakucha, Tangh, kromosom, Bohrtaag, azarimy dan Adijin.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 007 

006: Conan the Barbarian

Sunday, December 16th, 2007

006-original

Lebih 70 tahun yang lalu, satu idea bernas tercetus di dalam fikiran Robert E. Howard. Beliau membayangkan satu watak protagonis yang anti-hero, hidup di zaman Hyborian yang bermula selepas kemusnahan Atlantis. Di sinilah lahirnya watak Conan the Barbarian, satu watak yang begitu ikonik dalam dunia fantasi barat. Conan telah diadaptasi di dalam bentuk novel, komik, novel grafik, siri TV, kartun animasi hinggalah ke layar perak.

Pemilihan watak Conan di dalam sayembara ini diharap akan menjana imaginasi peserta ke genre fantasi dan seterusnya ke alam dongeng dan lagenda. Sayembara ini telah berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September 2007.

Pemenang Utama: Conan & “Friend” oleh Bohrtaag

006-winner-bohrtaag

Skema warna monotona nyata tidak menghalang Bohrtaag dari menjuarai sayembara kali ini. Apakah yang mungkin menjadi pemangkin kepada kejayaan Bohrtaag buat kesekian kalinya ini? Ya, sudah semestinya elemen “friend” di dalam karyanya menjadi penarik utama!

Pilihan Editor: Conan the Red oleh Kromosom

006-kromosom

Karya kromosom kali ini menggabungkan imejan dari satu lagi watak fantasi yang sudah tidak asing lagi: Hellboy! Dengan menggunakan teknik ala cell shading, kromosom berjaya menghasilkan amalgamasi Conan dan Hellboy dengan begitu mesra sekali.

Pilihan Editor: Conan the Librarian oleh azarimy

006-azarimy

Kalau Conan bersara awal, carilah dia di perpustakaan awam berhampiran rumah anda! Pastinya tak akan ada sesiapa yang berani mencuri buku atau lewat memulangkan buku :D.

Pilihan Editor: Conan the O’Brien oleh tarakucha

006-tarakucha

tarakucha buat lawak lagi! Kali ini Conan O’Brien pula yang menjadi mangsa. Cuma mungkin kita jarang tengok Conan O’Brien yang begitu gagah perkasa bak lakaran tarakucha.

Pilihan Editor: The Freak Brave Conan oleh Tangh

006-tangh

Gah! Mungkin begitulah rupa Conan versi zombie tua hasil nukilan Tangh. Dengan menggunakan teknik cell shading dengan kontras warna yang ketara menimbulkan lagi keperitan Conan yang semakin lapuk ditelan zaman :D.

20 Penyertaan Keseluruhan: Stingray_flyz (2), Tangh, d4z, MohdHairy, Sapot_poleng, Batmanbegins, Bickbong (2), tarakucha, Orangdiam2, Mat_spawn, Takara, Bohrtaag, Sayahan, Leydi, azarimy, Ajinda, kromosom dan Fern.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 006

005: Kapten Malaysia

Friday, December 14th, 2007

“Aku nak komen sikit pasal Captain America dan mengapa Kapten Malaysia tampak (bagi aku jela) kurang original dan kurang relevan (walaupun percubaan memberi nafas baru kepada beliau di sini lebih dari memuaskan, malah mengiurkan dan membangkitkan nafsu serakah yang tidak homo-erotis)

Pertama sekali, Captain America lahir semasa semangat ke’amerika’an begitu mebuak-buak, semasa perang dunia kedua. Pada masa itu, Caps melawan tentera German di Eropah bersama tentera biasa.

Kapten Malaysia lahir dari keinginan untuk mencipta sesuatu ‘watak’ yang mampu menandingi Superman dari US. Nota: Teori aku semata-mata. Tiada kaitan sebenar.

Nampak perbezaannya? Caps lahir dari ’semangat kebangsaan’ atau nationalisme, manakala Kaps lahir dari? Iri hati? Semangat melawan kolonialisasi? Kuasa barat?

Aku fikir dalam me’redesign’ Kaps, kita juga harus me’redefine’ mengapa Kaps lahir di Malaysia. Gambar watak dengan KLCC terbakar kat belakang tu mungkin boleh dijadikan titik tolak kepada sebab wujudnya Kapten Malaysia. Mengapa dia perlu wujud dalam dunia kita sekarang ini?

Jika kita lihat, Caps di US masih bertahan karektornya, kerana landasannya yang begitu kukuh. Begitu juga sepatutnya Kaps.” - mockingbird

Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat lihat predicament yang dilalui oleh kebanyakkan penggiat komik Malaysia, terutamanya apabila membincangkan watak Kapten Malaysia, satu watak superhero Malaysia yang diperkenalkan dalam tahun 80an. Sayembara kali ini mengimbas rekabentuk-rekabentuk Kapten Malaysia yang mungkin terbit sekiranya ia direka pada hari ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 23 Ogos hingga 31 Ogos 2007 sempena sambutan Hari Merdeka dan Tahun Kemerdekaan ke-50 Malaysia.

Pemenang Utama: Kapten Malaysia 50 oleh Bohrtaag

05-winner-bohrtaag

Kapten Malaysia! Dengan warna-warna primer yang sinonim dengan Jalur Gemilang, wajah yang terpampang ke bijaksanaannya, serta tubuh yang gagah perkasa, rekaan Bohrtaag cukup untuk menggambarkan aspirasi rakyat Malaysia akan hero yang akan menyelamatkan mereka.

Pilihan Editor: Kapten Malas-sial oleh tarakucha

05-tarakucha

Karya tarakucha kali ini begitu menyambar dengan lidah-lidah pedas! Malah namanya sendiri sudah cukup untuk menggambarkan sifat dan sikap kebanyakkan masyarakat Melayu di Malaysia. Siapa yang termakan cili, dialah yang akan terasa pedasnya!

Pilihan Editor: Kapten Malaysia punya anak saudara oleh Adijin

05-adijin

Kalau Kapten Malaysia tak ada, siapa yang akan menyelamatkan kita? Kapten Malaysia punya anak saudara! Gaya bersahaja yang digunakan oleh Adijin begitu selamba, berani dan terus terpahat di minda. Apatah lagi dengan kain merah terikat di leher dan gula-gula lapan sebagai topeng muka, karya Adijin kali ini menyampaikan mesejnya yang tersendiri. Tetapi apakah ia? AHA!

12 Penyertaan Keseluruhan: kromosom, tarakucha, Adijin, WaveRider, Stingray_flyz (2), Bohrtaag, Tangh, Hamzi, MohdHairy, azarimy dan Matspawn.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 005