Perghdotcom Battle Showcase

Siapa kata Malaysia tak ada talent? Blog ini mempamerkan hasil seni artis-artis komik Malaysia yang terbit dari pertandingan merekabentuk semula watak-watak yang dianjurkan oleh Pergh!, komuniti online artis-artis komik Malaysia.

Archive for February, 2008

019: Dante (Devil May Cry)

Tuesday, February 19th, 2008

019-original-

Bagi peminat-peminat game Devil May Cry untuk konsol PlayStation 2, watak Dante ini pastinya tidak asing lagi. Protagonis ini begitu popular dan telahpun diterbitkan ke dalam novel dan manga. Dante adalah seorang pemburu upahan yang memburu demon sebagai membalas dendam, turutan dari kematian ibunya. Dante sendiri adalah separuh manusia separuh demon, dan kacukan ini menganugerahkannya kuasa luar biasa yang digunakan untuk memburu demon-demon yang cuba menguasai dunia.

Sebagai salah satu watak yang paling cool, sayembara kali ini membuka peluang kepada pejuang-pejuang untuk merekabentuk semula Dante mengikut citarasa masing-masing!

Sayembara ini telah berlangsung dari 15 Disember hingga 21 Disember 2007.

Pemenang Utama: Bantey oleh Chakra

019-winner-chakra

Minggu ini Chakra tanpa segan silu mem”BANTEY” semua peserta-peserta lain hingga berdarah hidung! Ketelitiannya dapat dilihat pada tekstur pakaian Bantey, terutamanya pencahayaan dinamik dari dua arah yang amat kontras dari segi kekuatan cahaya, warna dan kedudukannya. Teknik ini berjaya menjulang kekuatan subjek dengan pose yang cool, tanpa perlu risau dikepung oleh demon-demon buruannya.

Pilihan Editor: NeoDante oleh ALYRIDURA

019-alyridura

Sayembara kali ini tak kurang dengan aksi ala hero komik Hong Kong yang sememangnya menjadi identiti ALYRIDURA. Namun aksi hero ini bukan kekuatan utamanya. ALYRIDURA telah mengubahsuai kostum dan senjata NeoDante dengan menambah armor dan peralatan besi, menjadikan Dante yang asal nampak macam nak pergi pasar. :D

Pilihan Editor: Darnte oleh little z3dD

019-z3dD

Amati ke dalam renungan matanya, kau pasti ‘kan terpukau! little_z3dD menggunakan warna merah yang berpusar bagi menonjolkan wajah Darnte secara khususnya. Ini membuatkan impak mata Darnte yang memukau bertambah menonjol dan menjadi kekuatan lukisan ini.

Pilihan Editor: kelante oleh azarimy

019-azarimy

Warna merah jaket labuh Dante telah dijadikan kanvas latar belakang logo negeri Kelantan, hasil interpretasi azarimy. Rekabentuknya tidak banyak berubah dari Dante yang asal, tetapi permainan kata nama dan logo negeri menjadi percaturan dan dikuatkan lagi dengan slogannya. Di Kelantan, Devil may not cry, tetapi Devil will cry!

Pilihan Editor: Dante oleh Invictus

019-invictus

Sekiranya anda dapat melihat imej yang lebih besar, anda akan dapat menikmati tekstur yang teliti pada kasut, senjata dan armor rekaan Invictus ini. Amati keperinciannya, kerana bukan semua orang sanggup merender lukisan-lukisan mereka sebegitu rupa!

Pilihan Editor: Eksen Dante oleh Hamzi

019-hamzi

Hamzi mempersembahkan satu pose penuh “eksen” dalam entrinya kali ini. Dinamis pergerakkan dalam karya ini diaksenuatkan oleh libasan-libasan angin serta jaket merah yang mengerbang. Ia membayangkan fokus kepada bahagian tengah yang terbahagi oleh kedudukan pedang yang vertikal, sekaligus cuba menonjolkan keseimbangan di dalam persembahannya.

15 Penyertaan keseluruhan: Mockingbird, Bickbong, hamzi, TakoyakiChan, azarimy, Prem_Chopra (2), t a n g h, Raen, Chakra, Buckethead, nebula, little z3dD, Invictus dan ALYRIDURA.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 019

018: Santa Claus

Saturday, February 9th, 2008

018-original

HOHOHOHO!

Sempena Hari Krismas 2007, perghdotcom mengambil kesempatan ini untuk menganjurkan sayembara yang bertemakan ikon paling popular dalam budaya barat. Santa Claus tak perlukan penjelasan lanjut. Anda semua tahu siapa Santa Claus. Ayuh nikmati pertarungang merekabentuk semula Santa Claus oleh member-member perghdotcom!

Sayembara ini telah berlangsung dari 8 Disember hingga 15 Disember 2007.

Pemenang Utama: Santa Girl oleh TakoyakiChan

018-winner-takoyaki

Penggunaan warna merah jambu yang mendominasi karya nukilan TakoyakiChan ini tidak menghalang ia dari menjadi favourite di kalangan pengundi-pengundi yang terdiri dari majoriti lelaki. Malah palet warna yang begitu terkawal menjadi kekuatan utama karya ini, ditambah lagi dengan pose yang diberikan, jelingan manja dan ukiran senyuman yang bersahaja. Dan sebagai kontras, font yang digunakan bagaikan cuba menggambarkan sesuatu yang sinister, misterius tetapi naif.

Pilihan Editor: Santa Claws! oleh Adijin

018-adijin

Setelah berjaya menyerap semangat Frank Miller, Adijin tanpa segan silu melampiaskan aura yang dikumpulnya dengan amalgamasi Santa Claus dan Wolverinenya. Sistem yang digunakan jelas - penggunaan teknik sapuan berus dakwat yang berat dan dikuatkan dengan satu lapisan warna merah menonjolkan gaya Frank Miller tetapi pada masa yang sama mengekalkan keaslian karya Adijin.

Pilihan Editor: Saint Luffy oleh Hamzi

018-hamzi

Kali ini kita disajikan dengan Santa Claus versi One Piece pula! Mungkin ada banyak persamaan antara perwatakan Luffy dan Santa Claus yang dapat kita saring bersama, tetapi imaginasi Hamzi dengan mudah merumuskan segalanya dalam karynya ini. Dengan ciri-ciri Luffy yang boleh melentur, sudah pasti dia dapat meloloskan diri lebih mudah ke dalam corong-corong asap di rumah masing-masing. Kalaulah di Malaysia ada corong asap… :D

Pilihan Editor: Santesss oleh KiddieGrinder

018-kiddiegrinder

Seram, dark dan misterius. Itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan karakter Santa Claus yang direkabentuk semula oleh KiddieGrinder. Ada kalanya terasa macam Santa versi zombie; perutnya yang bulat macam orang tua pedofil yang suka makan budak; dan kerana ekor jengking yang terpacul di belakang Santa, terasa macam alien pula. Pendek kata, macam-macam cerita yang boleh kita gambarkan dari karyanya!

Pilihan Editor: Santa + Viking oleh Sayahan

018-sayahan

Karya Sayahan ini dipilih berdasarkan penyampaian cerita dan lukisan tongue-in-cheek yang bersahaja. Hasilnya kemas dan terkawal, tapi mungkin terlalu “skema” kerana ada banyak idea yang boleh diceburi dari cetusan idea ini. Namun kekuatannya masih pada penyampaian cerita, dan ia amat ketara di sini ;).

14 Penyertaan keseluruhan: Prem_Chopra, azarimy, adijin, Dwen_ke70, Katon_Aqhari, Shiori_LA, t a n g h, KiddieGrinder, hamzi, Sayahan, Narami_san, Irkusydamha, TakoyakiChan dan Yayafaridz.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 018

017: Alphonse Elric

Friday, February 8th, 2008

original

Full Metal Alchemist adalah salah satu siri manga dan anime yang tidak asing lagi di kalangan peminat-peminat manga di seluruh dunia. Alphonse Elric, adik kepada Edward, telah mengalami transmutasi roh yang dilakukan oleh abangnya demi menyelamatkan nyawanya. Roh Alphonse atau Aru telah diserapkan ke dalam sebuah baju zirah atau armor kosong, dan di situlah bermulanya keunikan watak Aru ini. Tanpa jasad, tanpa terkongkong dengan limitasi tubuh manusia.

Keunikan ini diharap dapat menjanjikan hasil imaginasi yang baru dan berbeza dari sebelumnya sebagai subjek untuk rekabentuk semula minggu ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 1 Disember hingga 7 Disember 2007.

Pemenang Utama: Alphonse D’Alam Angker oleh Silentgecko

winner - silentgecko

Kesungguhan Silentgecko akhirnya membuahkan hasil, dan hasilnya begitu hebat sekali. Apa yang ketara dalam watak rekaan semulanya ialah ia mengecapi konsep watak Aru dan memberikan suntikan baru. Semangat Aru tampak diperam didalam balang sfera yang membentuk badannya. Reintepretasi semula transmutasi roh ke dalam automail dipersembahkan dalam karya yang jitu dari segi pose, warna mahupun konsepnya.

Pilihan Editor: Untitled oleh Alyridura

017-alyridura

Alyridura mengekalkan gaya persembahannya dan dikuatkan lagi dengan rekabentuk armor yang mekanikal dan tidak terkongkong oleh realisme. Alyridura masih mampu mengekalkan semangat Aru sungguhpun mengintegrasikan konsep meka yang moden. Kredit perlu diberikan kepada konsep meka dan penggunaan warna yang terkawal tetapi pada masa yang sama memperkayakan rekabentuk ini.

Pilihan Editor: Alfofo oleh Chakra

017-chakra

Kali ini Aru diimaginasikan semula sebagai salah seorang Space Marine dari dunia Warhammer 40000 hasil nukilan idea Chakra. Bukan itu sahaja, gaya, warna dan detail persembahannya begitu realistik sekali, hinggakan sekali imbas jasad agam ini nampak bagaikan datang terus dari dunia Warhammer 40k tersebut!

Pilihan Editor: AlphonSamurai oleh Invictus

017-invictus

Invictus membawa pulang Aru ke Jepun dengan rendisinya AlphonSamurai. Kalau FMA diset berlatar belakangkan Eropah alternatif, Invictus cuba membawa kita ke Jepun pula. Keperincian yang dipersembahkan oleh Invictus amat berleluasa di seluruh rekabentuk Aru, dari padding di lengan atas hinggalah ke tangkai pedang yang tak terbayang panjangnya. Kesungguhan inilah yang menjadi identiti karya-karya hasilan Invictus.

Pilihan Editor: Alfalfa oleh popiaman

017-popiaman

Seperti biasa popiaman mempersembahkan jamuan mata yang menakjubkan. Ketelitian dan keperincian yang diberikan dalam karyanya ini memaparkan Aru di dalam aura yang berbeza. Permainan cahaya merah yang melimpah dari bahagian tengah ke celah-celah permukaan baju zirah menyebabkan hilangnya sifat-sifat comel Aru dan digantikan dengan kelibat yang lebih sinister!

Pilihan Editor: Roborto de’ Alphonse oleh TakoyakiChan

017-takoyaki

Tak payah armor lagi, pakai robot terus! TakoyakiChan tak mahu terkongkong lagi dengan rekabentuk armor yang konvensional, lalu terus membayangkan rekabentuk robot yang menjadi jasad Aru yang baru. Di dalam karya ini TakoyakiChan juga mempamerkan linework yang digunakannya, membolehkan kita mengecapi dedikasi yang diluahkan oleh dia di dalam menghasilkan karya ini.

Pilihan Editor: Royal Alphonse Elric oleh ZoOl!

017-zool

ZoOL tanpa ragu-ragu membiarkan imaginasi terbebas dengan merekabentuk Aru yang larger than life! Eksagerasi optimis ini mempamerkan Aru bertubuh gergasi, satu skala yang dapat kita lihat apabila membandingkan kepalanya dengan keseluruhan tubuhnya. Walaupun menggunakan teknik dakwat yang bersahaja, kita masih dapat mengecapi betapa gahnya persembahan ZoOL ini.

30 Penyertaan keseluruhan: Dwen ke70 (2), little z3dD (4), ZoOl!, Wave Rider, TakoyakiChan, Skynet (2), t a n g h, Irkusydamha, Buckethead, Sapot_poleng, azarimy, Shiori_LA, Narami_san, Mohdhairy, Just_jimi19, Chakra, tarakucha, azharmaa, popiaman, Silentgecko, hamzi, Invictus dan Prem_Chopra.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 017

016: Captain Harlock

Friday, February 8th, 2008

016-original

Captain Harlock? Siapa?

Mungkin anak-anak zaman sekarang mungkin tak kenal Captain Harlock, tapi bagi sesiapa yang biasa dengan siaran kartun waktu maghrib RTM yang begitu kontroversi sejak lewat 80an lagi pasti akan terserempak dengan bayangan Captain Harlock. Captain Harlock adalah kapten lanun angkasa yang berjiwa romantik dan mempunyai falsafahnya tersendiri. Sebagai salah satu watak yang ikonik dari Jepun, pastinya Captain Harlock berjaya menyentuh jiwa kanak-kanak yang sarat dengan cerita-cerita pengembaraan di dalam sanubari ahli-ahli perghdotcom. Jadi, nikmatilah rendisi semula watak ikonik ini!

Sayembara ini telah berlangsung dari 24 November hingga 30 November 2007

Pemenang Bersama: Captain Smoke-Harlock oleh Aria

016-aria

Ah cool gila Captain Harlock versi Aria. Lepak santai sambil menghisap rokok ditemani oleh tengkorak-tengkorak yang tersengih. Captain Harlock ini telah mengalami perubahan rekabentuk semula yang subtle, tetapi jika diteliti, kita akan dapati banyak elemen-elemen yang diubahsuai - dari uniform sehinggalah ke aksesori yang dipakainya. Tetapi elemen misteri dan karisma Captain Harlock berjaya dikekalkan.

Pemenang Bersama: Lawan tetap lawan oleh Chakra

016-chakra

Sekali imbas nampak macam iklan Small Soldiers. Chakra langsung tak menyimpan kukunya dalam Captain Harlock versinya. Pos yang diberikan menggambarkan pergerakkan yang dinamik, di samping sumber cahaya dari belakang sebagai pencetus fokus menambahkan elemen pergerakkan di dalam lukisan ini. Dengan hasil yang begitu kukuh, tak hairan Chakra berjaya mengasak Aria untuk berkongsi tempat pertama.

Pilihan Editor: Captain Harlock oleh Tarakucha dan t a n g h (kolaborasi)

016-tarakucha+tangh

Aww garangnya! Usahama “seksi” tarakucha dan t a n g h ini menggunakan elemen-elemen percetakan klasik dengan warna-warna terhad dan tekstur kertas kotor menjadi latar belakangnya. Watak Captain Harlock versi wanita ini menggambarkan seorang kapten lanun yang garang, berwibawa dan pada masa yang sama begitu seksi, anda pasti dapat merasakan bahangnya!

Pilihan Editor: Untitled oleh Just_Jimi19

016-justjimi

Intepretasi Captain Harlock Just_Jimi19 ini memberikan pose penuh aksi, dengan pemberatan komposisi yang lebih gelap di sebelah atas menguatkan lagi intensiti aksi tersebut. Rekabentuknya mungkin kurang diberi penekanan, tetapi aksi dan persembahannya cukup menarik, terutama sekali apabila belak-belak biru (cyan) di latar belakang memberi fokus kepada subjek di dalam karya ini.

Pilihan Editor : Harlock Prolog oleh Stella5

016-stella5

Gaya manga comel oleh Stella5 berjaya membezakan dirinya dari entri-entri yang lain. Nampaknya sekarang kita tahu asal usul Captain Harlock sebelum dia menerajui kapal angkasanya. Inilah kekuatan karya Stella5 yang menyampaikan mesej dengan gaya yang mudah dan tersendiri.

Pilihan Editor: Captain Herluck oleh Silentgecko

016-silentgecko

Silentgecko memberikan interpretasi semula Captain Harlock versi ranum yang begitu menarik sekali. Sekurang-kurangnya kredit perlu diberikan kepada rekabentuk kostumnya yang mencabar imaginasi penonton haha! Mungkin karya ini boleh dikuatkan lagi sekiranya kita dapat melihat lebih banyak pedang dan makhluk yang terkujur itu. Betul! :D

Pilihan Editor: Kapitan Ah Lok and Captain Dreadlock oleh delluzion

016-delluzion

Karya hitam putih dari delluzion begitu rapi, kemas dan terperinci. Kalau diteliti, kita akan mendapati banyak cerita yang cuba disampaikan oleh Delluzion - dari rod kemudi sampailah ke gitar yang dipeluk hingga ke hidrofoil di bawah bot. Pendek kata, kalau dapat diwarna, pasti akan memperbudak-budakkan karya yang lain!

22 Penyertaan Keseluruhan: Kimball (4), Buckethead, Dwen_ke70, t a n g h, Prem_Chopra, popiaman, MohdHairy, Thirtynine, Skynet, Stella5, Just_jimi19, Silentgecko, bohrtaag, Little_z3dD, Tarakucha+t a n g h, Delluzion, Hamzi, Aria dan Chakra.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 016