Archive for the ‘Anime’ Category

032: Sailor Moon

Saturday, July 26th, 2008

032-original

Sailor Moon mungkin adalah salah satu pelopor kekuasaan budak-budak perempuan Jepun dalam budaya popular masa kini. Uniform Sera Fuku yang sangat popular ini berjaya menjual budaya Jepun ke seluruh dunia, baik dalam bentuk kartun, cosplay hinggalah ke hentai dewasa. Pergh CRB kali ini membuka peluang kepada artis-artis tanahair untuk mereka semula watak ikonik dari Jepun ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 15 Mac hingga 22 Mac 2008.

Pemenang Utama: Teknologi Bulan oleh silentgecko

032-winner-silentgecko

Semua elemen-elemen rekabentuk Sailor Moon asal “dibesikan” tanpa teragak-agak oleh silentgecko, dari rambut, skirt sampailah ke riben belakang. Olahan ini dikuatkan lagi dengan palet yang kontras tetapi dibekukan dengan permainan cahaya suram. Sumber cahaya dari belakang biasanya kurang menarik dalam pos-pos heroik, tetapi dalam kes ini, silentgecko berjaya menampilkan cool factor yang baik dengan mengharmonikan pencahayaan tersebut dengan teknik dakwat berat. Tanpa ragu-ragu lagi ia menjadi karya yang paling menarik dalam CRB kali ini.

Pilihan Editor: Untitled oleh sureya dan VirusAC-74

032-sureya virusac

Mengasyikkan! Itu saja yang terpacul difikiran apabila mengamati karya tidak bertajuk nukilan sureya dan VirusAC-74 ini. Setiap inci karya ini menjiwai semangat Sailor Moon hingga mampu membuat audiens percaya bahawa karya ini memang sebenarnya sebahagian dari alam Salor Moon yang sebenar. Mereka berdua telah memberikan tahap ketelitian yang tinggi – lihat saja pada riben merah yang translusen, bayang-bayang rambut yang jatuh sehelai demi sehelai, hinggalah kepada pantulan dan sinar cahaya yang begitu memukau! Semestinya antara karya terbaik di Pergh CRB!

Pilihan Editor: Kuasa Bulan… oleh riznam

032-riznam

Karya riznam ini terpilih kerana elemen politikal yang cuba diketengahkannya. Mungkin ada yang berpendapat politik dan seni tidak patut dicampur-aduk. Tetapi permainan isu “bulan” dengan Sailor Moon adalah satu simbolisme yang kreatif dan perlu dikongsi ramai. Cuma riznam mungkin patut beri lebih perhatian kepada garisan-garisan yang kelihatan kasar akibat anti-aliasing yang kurang baik.

Pilihan Editor: I’m Popeye the Sailormoon! oleh bohrtaag

032-bohrtaag

Lepas berseronok-seronok dengan isu bulan yang politikal, Bohrtaag pula menjemput kita bercanda dengan komedi pula. Ramai yang pasti muntah darah (bukan berdarah hidung!) melihat karyanya ini. Fesyen yang dikenakan oleh Popeye ini bakal menggoda para pedofil agar menonjolkan diri. Cuma kita musykil kat mana dia nak simpan tin spinachnya…

Pilihan Editor: Sailormoony oleh bickbong

032-bickbong

Simple, harmoni dan menggiurkan. Karya bickbong ini tidak menampilkan kulit yang banyak, tetapi keseksian Sailor Moon tetap terserlah. Wajah Sailor Moon digarap lembut, sangat harmoni dengan pose yang bersahaja dan tenang. Palet warna yang digunakan juga dikawal dengan sekata. Mungkin satu komen yang dapat diketengahkan ialah kewujudan bintang di depan bulan pada latar belakangnya. Macam mana tu, bang?

Pilihan Editor: Memoirs of GeishaMoon oleh TakoyakiChan

032-takoyakichan

TakoyakiChan mencuba pendekatan yang berbeza dengan persembahan monokromatik. Sailor Moon pula berhias dalam evening gown yang kelihatan klasik dan lustrous. Tambahan pula dengan pose yang malu-malu menggoda, jelingan manja dan dipasangkan dengan senyuman halus yang manis, TakoyakiChan telah berjaya mengajak audiens berimaginasi dengan kemungkinan yang lebih jauh.

Pilihan Editor: Moon Warfare oleh Stella5 dan Bajak

032-stella bajak

Karya Stella5 dan Bajak ini membayangkan Sailor Moon dalam peperangan kontemporari. Elemen-elemen magik yang sinonim dengan Sailor Moon digantikan dengan mesingan, boot kombat, kamoflaj dan kelengkapan perang yang lain. Namun mereka tidak cuba membuatkannya terlalu serius apabila mengekalkan elemen-elemen kawaii dalam reka rupa dan hasil akhirnya.

41 penyertaan keseluruhan: riznam (2), crayon (3), mantoto, WAVERIDER (2), narami_san, oddy (2), raz7, orangdiam2 (2), Stella5, TakoyakiChan (2), Bajak, c u r d, katon_aqhari (2), silentgecko, bohrtaag, qaiser13, hamzi, Skynet, bickbong, shiori_LA, sureya, VirusAC-74, Invictus (2), Xilence Swordswind (2), stingray_flyz, pijun, devil_mumu (2), rabun, riezal83 dan jack oreo.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 032 Kumpulan 1, Topik Undian 032 Kumpulan 2, Topik Undian 032 Kumpulan 3.

023: Jiraiya (Naruto)

Wednesday, May 21st, 2008

023-original

Watak Jiraiya adalah salah satu watak terkenal di dalam manga Naruto. Kebolehan Jiraiya dalam jurus berasaskan katak/kodok membuatnya lebih dikenali sebagai Toad Sage. Senang cerita, kalau anda pernah layan Naruto, Jiraiya the Toad Sage sudah pasti tidak asing lagi!

Sayembara ini telah berlangsung dari 11 Januari hingga 18 Januari 2008

Pemenang Bersama: Hermit oleh little_z3dD dan kimBall

023-winner-littlez3dd+kimball

Usahasama kimBall dengan little_z3dD kali ini telah membuahkan hasil apabila karya mereka ini dipilih sebagai satu daripada dua karya terbaik. Dengan menggunakan elemen-elemen katak/kodok di dalam rekabentuk Jiraiya ini, mereka telah memaparkan pose yang lincah dan fleksibel. Walaupun begitu, fokus tetap dikekalkan dengan wajah Jiraiya mendominasi bahagian tengah lukisan ini. Tahniah buat mereka berdua!

Pemenang Bersama: Ultimate Jiraiya oleh ZoOL!

023-zool

Karya pensel ZoOL! ini berjaya mengembalikan keyakinan sebahagian besar peserta bahawa teknik tradisional masih boleh mengungguli Pergh CRB. Karakteristik manga-barat yang semakin menjadi trademark ZoOL! mempamerkan gerak aksi yang pantas dan tidak terkongkong dengan anasir-anasir yang terlalu realistik. Ini adalah antara faktor Ultimate Jiraiya ini menjadi pilihan ramai.

Pilihan Editor: Jokeraiya oleh azarimy

023-azarimy

azarimy pula cuba mengamalgamasikan watak Jiraiya dengan Joker. Bukan setakat itu sahaja, dia telah mengubahsuai kulit majalah Empire dan mempamerkan teknik catan yang realistik. Ini mengekalkan konsep the Joker yang homisidal tanpa mengorbankan ciri-ciri Jiraiya.

Pilihan Editor: SOC : Robo-G-Raiya oleh silentgecko

023-silentgecko

Sambil mengekalkan elemen-elemen yang menjadi identiti Jiraiya, silentgecko mengolah rekabentuk watak ini ke alam robot besi. Namun pencahayaan yang digunakan mirip teknik minyak yang biasa dilihat di mural-mural klasikal. Ini menghasilkan efek yang agak sureal, lebih-lebih lagi kita dapat melihat elemen-elemen rekabentuk Iron Man disadur ke dalam rekabentuk ini.

Pilihan Editor: Ji-VENOM-Raiya… oleh azharmaa

023-azharmaa

Dengan menggabungkan teknik manual menggunakan pensel dan pen, azharmaa melahirkan watak amalgamasi Venom dan Jiraiya: Ji-Venom_Raiya! Penggunaan lorekan pen yang rapat mengikut ira menimbulkan bentuk lantas menghidupkan lagi watak ini. Kita juga dapat bayangkan kehebatan Jiraiya dengan jurus-jurus dan hikmat yang tinggi ditambah dengan kuasa Venom, semestinya ia akan membentuk superhero atau supervillain yang terunggul!

Pilihan Editor: G-Daia (lupakannnnnnn…yg lain) oleh sapot_poleng

023-sapot_poleng

Inilah kuasa pengaruh iklan! Penggunaan warna yang seimbang dan tidak keterlaluan pada keliling karya ini menimbulkan fokus warna-warna agam di bahagian tengah. Ini merupakan satu teknik yang jarang digunakan di dalam Pergh CRB. Tetapi di dalam karya ini ia amat sesuai, terutama sekali ia menambahkan impak pencahayaan yang realistik.

Pilihan Editor: JIRASUPASAIYA oleh popiaman

023-popiaman

Kali ini popiaman menelusuri amalgamasi Toad Sage dengan elemen-elemen Dragonball Z. Mungkin selepas ini popiaman akan mempersembahkan kuasa kameha-meha pula? Jadi sementara menanti, perhatikan lingkaran cerita yang dimuatkan di dalam karya ini. Setiap objek, elemen dan kedudukannya menyumbang kepada satu cerita yang lengkap. Terpulang kepada masing-masing untuk mentafsirkannya.

Pilihan Editor: When Jiraiya goes Kabuking oleh kimBall

023-kimball

Kali ini kimBall mencuba teknik animasi sel pula. Persembahannya kemas dan rapi, lebih-lebih lagi dengan menggunakan format landskap ala cinemascope, betul-betul mengecapi teknik ini. Kalau ditambah dengan sarikata terjemahan, pasti tak tumpah macam screencapture dari siri animasi yang sebenar!

Pilihan Editor: JI-NU-YASYA oleh oddy

023-oddy

Sebagai salah seorang peserta baru, Oddy pantas mencuri perhatian dengan teknik mono-merah. Kontras ini amat mudah dihasilkan tetapi biasanya agak sukar untuk seorang artis mendapatkan keseimbangan komposisi yang sesuai. Di sini oddy hanya memberi penekanan pada elemen yang menjadi trademark Jiraiya, dan seterusnya melompat ke latar belakangnya. Kedudukan watak yang berat ke sebelah kiri diseimbangkan dengan warna merah, menghasilkan satu karya yang unik.

Pilihan Editor: Jiraiya in Shadow oleh keribang

023-keribang

Di bawah panji tradisional seperti azharmaa dan ZoOL!, keribang buat pertama kali menyertai Pergh CRB dengan sebuah hasil pensel yang begitu realistik. Lorekan-lorekan pensel memberikan tekstur yang begitu halus dan teliti. Tanpa menggunakan outline, kontras antara gelap dan terang telah menimbulkan efek bentuk yang akhirnya menonjolkan Jiraiya in Shadow dari sekeping kertas kosong.

45 penyertaan keseluruhan: keribang, Prem_Chopra (3), hamzi, azarimy (2), oddy (2), rabun (2), iejal, azharmaa, Skynet, ICeSoul, deGenG, Billy_Zee, aoisora119 (2), dAqlAn (2), kimBall (3), riezal83, iejal, ZoOL!, katon_aqhari, yanjymz, TakoyakiChan, babat:ism, garagerock, hami_drfrix, sapot_poleng, shiori_LA, JetEaroplane, popiaman, invictus, little_z3dD, Skynet, LobakOren, silentgecko, buckethead (3),

Untuk melihat semua penyertaan: Topik penyertaan 023

017: Alphonse Elric

Friday, February 8th, 2008

original

Full Metal Alchemist adalah salah satu siri manga dan anime yang tidak asing lagi di kalangan peminat-peminat manga di seluruh dunia. Alphonse Elric, adik kepada Edward, telah mengalami transmutasi roh yang dilakukan oleh abangnya demi menyelamatkan nyawanya. Roh Alphonse atau Aru telah diserapkan ke dalam sebuah baju zirah atau armor kosong, dan di situlah bermulanya keunikan watak Aru ini. Tanpa jasad, tanpa terkongkong dengan limitasi tubuh manusia.

Keunikan ini diharap dapat menjanjikan hasil imaginasi yang baru dan berbeza dari sebelumnya sebagai subjek untuk rekabentuk semula minggu ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 1 Disember hingga 7 Disember 2007.

Pemenang Utama: Alphonse D’Alam Angker oleh Silentgecko

winner - silentgecko

Kesungguhan Silentgecko akhirnya membuahkan hasil, dan hasilnya begitu hebat sekali. Apa yang ketara dalam watak rekaan semulanya ialah ia mengecapi konsep watak Aru dan memberikan suntikan baru. Semangat Aru tampak diperam didalam balang sfera yang membentuk badannya. Reintepretasi semula transmutasi roh ke dalam automail dipersembahkan dalam karya yang jitu dari segi pose, warna mahupun konsepnya.

Pilihan Editor: Untitled oleh Alyridura

017-alyridura

Alyridura mengekalkan gaya persembahannya dan dikuatkan lagi dengan rekabentuk armor yang mekanikal dan tidak terkongkong oleh realisme. Alyridura masih mampu mengekalkan semangat Aru sungguhpun mengintegrasikan konsep meka yang moden. Kredit perlu diberikan kepada konsep meka dan penggunaan warna yang terkawal tetapi pada masa yang sama memperkayakan rekabentuk ini.

Pilihan Editor: Alfofo oleh Chakra

017-chakra

Kali ini Aru diimaginasikan semula sebagai salah seorang Space Marine dari dunia Warhammer 40000 hasil nukilan idea Chakra. Bukan itu sahaja, gaya, warna dan detail persembahannya begitu realistik sekali, hinggakan sekali imbas jasad agam ini nampak bagaikan datang terus dari dunia Warhammer 40k tersebut!

Pilihan Editor: AlphonSamurai oleh Invictus

017-invictus

Invictus membawa pulang Aru ke Jepun dengan rendisinya AlphonSamurai. Kalau FMA diset berlatar belakangkan Eropah alternatif, Invictus cuba membawa kita ke Jepun pula. Keperincian yang dipersembahkan oleh Invictus amat berleluasa di seluruh rekabentuk Aru, dari padding di lengan atas hinggalah ke tangkai pedang yang tak terbayang panjangnya. Kesungguhan inilah yang menjadi identiti karya-karya hasilan Invictus.

Pilihan Editor: Alfalfa oleh popiaman

017-popiaman

Seperti biasa popiaman mempersembahkan jamuan mata yang menakjubkan. Ketelitian dan keperincian yang diberikan dalam karyanya ini memaparkan Aru di dalam aura yang berbeza. Permainan cahaya merah yang melimpah dari bahagian tengah ke celah-celah permukaan baju zirah menyebabkan hilangnya sifat-sifat comel Aru dan digantikan dengan kelibat yang lebih sinister!

Pilihan Editor: Roborto de’ Alphonse oleh TakoyakiChan

017-takoyaki

Tak payah armor lagi, pakai robot terus! TakoyakiChan tak mahu terkongkong lagi dengan rekabentuk armor yang konvensional, lalu terus membayangkan rekabentuk robot yang menjadi jasad Aru yang baru. Di dalam karya ini TakoyakiChan juga mempamerkan linework yang digunakannya, membolehkan kita mengecapi dedikasi yang diluahkan oleh dia di dalam menghasilkan karya ini.

Pilihan Editor: Royal Alphonse Elric oleh ZoOl!

017-zool

ZoOL tanpa ragu-ragu membiarkan imaginasi terbebas dengan merekabentuk Aru yang larger than life! Eksagerasi optimis ini mempamerkan Aru bertubuh gergasi, satu skala yang dapat kita lihat apabila membandingkan kepalanya dengan keseluruhan tubuhnya. Walaupun menggunakan teknik dakwat yang bersahaja, kita masih dapat mengecapi betapa gahnya persembahan ZoOL ini.

30 Penyertaan keseluruhan: Dwen ke70 (2), little z3dD (4), ZoOl!, Wave Rider, TakoyakiChan, Skynet (2), t a n g h, Irkusydamha, Buckethead, Sapot_poleng, azarimy, Shiori_LA, Narami_san, Mohdhairy, Just_jimi19, Chakra, tarakucha, azharmaa, popiaman, Silentgecko, hamzi, Invictus dan Prem_Chopra.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 017