Archive for the ‘Filem dan TV’ Category

031: Optimus Prime

Wednesday, July 23rd, 2008

031-original

Nah, siapa tak kenal Optimus Prime? Ketua Autobot dari siri animasi, komik dan filem Transformers ini merupakan idola pujaan kanak-kanak sekitar 80an sehingga kini. Terdapat pelbagai versi Optimus Prime digarap dalam pelbagai siri alternatif atau spin-off, dan kini Pergh CRB memberi peluang untuk ahli perghdotcom untuk mencelup berus ke dalam mangkuk idea masing-masing dan berikan yang terbaik!

Sayembara ini telah berlangsung dari 8 Mac hingga 15 Mac 2008.

Pemenang Bersama: Optimaxx Z! oleh little z3dD

031-winner-z3dD

Walaupun tidak menampilkan keseluruhan rekabentuk semula watak ini, ia tidak menghalang dari audiens mengimaginasi sendiri keseluruhan rekaannya sehingga menonjolkan little z3dD sebagai pemenang! Suasana suram diterangi cahaya lampu limpah menjadi ambiens yang menampilkan Prime di dalam konteks yang futuristik. Kita juga dihadiahkan dengan elemen-elemen dari pelbagai versi Prime yang terdahulu, digarap halus menjadi sebahagian dari cerita yang disampaikan. Ini menjadikan karya ini bukan hanya satu hasil visual, tetapi mempunyai pelbagai lapisan cerita tersirat disebaliknya!

Pemenang Bersama: kemuncak optimum klimax oleh hamzi

031-winner-hamzi

Bak pulang ke asal, hamzi merekabentuk semula Prime dengan menyadurkan elemen-elemen samurai Jepun. Dari pedang, perisai hinggalah kepada keperincian di segenap jasad besi Prime, hamzi cuba menerapkan bukan setakat rupa, tetapi juga gaya samurai mengorak tari pertarungan. Tetapi dia tidak berhenti di situ. Efek sambaran elektrik yang digunakan bersama-sama teknik pencahayaan yang baik menambahkan lagi impak pose yang digunakan.

Pilihan Editor: Optimus Prime 2099 oleh azarimy

031-azarimy

azarimy cuba lari dari warna-warni Prime yang dominan dengan persembahannya yang monokromatik. Tidak terhad di situ, Prime rekaannya juga tidak berdasarkan kenderaan darat, tetapi sebuah pesawat udara. Ini dapat dilihat dari elemen-elemen sayap, jet enjin dan sebagainya yang memberi bayangan pesawat asalnya.

Pilihan Editor: F22 Decepticon oleh Invictus

031-invictus

Beralih dari rekabentuk humanoid, Invictus mencabar minda dengan rekabentuk Prime yang telah jatuh ke dalam idealogi Decepticon. Rekabentuk Prime ini selari dengan rekabentuk robot-robot Decepticon di dalam filem Transformers baru-baru ini,  mungkin Invictus patut cuba membuat eksplorasi yang menjurus ke situ. Mana tahu, mungkin boleh mintak kerja di situ ;) .

Pilihan Editor: Prime of Zenth oleh Hariszzz

031-hariszzz

Sekali imbas kita dapat lihat betapa uniknya rekabentuk Prime karya Hariszzz ini. Permainan tekstur permukaan yang diliputi ukiran-ukiran halus dengan bentuk-bentuk organik di seluruh jasadnya memberikan tafsiran berbeza kepada watak ini. Ini membuatkan kita cuba berfikir – apakah objek yang terbentuk apabila Prime ini berubah? Musykil, musykil.

17 penyertaan keseluruhan: lepazo (2), azarimy (2),  stingray_flyz, DinJerr, riznam, irkusydamha, hamzi, mantoto, Xilence Swordswind, little z3dD, jack oreo, babat:ism, hami_drfrix, Hariszzz dan Invictus.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 031.

030: Han Solo & Chewbacca

Wednesday, July 23rd, 2008

030-original

Kali ini kita bermain dengan dua ikon yang tidak asing lagi – Han Solo dan Chewbacca! Hubungan “hutang nyawa” antara Chewbacca dengan Han Solo merupakan antara contoh chemistry layar perak yang terbaik, sungguhpun tak ada siapa pun yang faham apa yang dituturkan oleh Chewie. Chemistry inilah yang cuba diketengahkan dalam sayembara kali ini. Marilah kita lihat bagaimana para baladewa dan perajurit semua menafsirkan chemistry ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 1 Mac hingga 8 Mac 2008.

Pemenang Utama: Tengen Toppa Solo Briged! oleh little z3dD dan Bajak

030-winner-z3dd bajak

Misi pandang ke timur little z3dD dan Bajak berjaya menggondol gelaran pemenang utama dalam sayembara kali ini. Kekuatan karya ini terletak pada penafsiran semula setiap watak utama di dalam Star Wars (tidak terkongkong kepada Hans Solo dan Chewbacca sahaja), dan dijukstaposisikan dengan dunia Tengen Toppa Gurren Lagann. Gaya yang digunakan juga mengamati persembahan siri anime tersebut. Peminat-peminat kedua-dua filem dan animasi ini pasti teruja!

Pilihan Editor: Undi Wars: Episode XII Revenge of the Sris oleh silentgecko dan ZoOL!

030-silentgecko zool

Karya hasil usahasama dua pendekar terbilang ini mengekalkan ciri-ciri poster Star Wars yang unik, dengan reintepretasi dua watak tersebut yang menarik. Permainan efek cahaya pada senjata masing-masing menjadi tumpuan utama, lebih-lebih lagi apabila diapit dengan warna hitam di sekelilingnya. Amati juga rekaan semula Han Solo dengan tangan sibernetiknya, dan Chewbacca dengan kapak/tukul yang futuristik.

Pilihan Editor: Sayahan Solo and Chewbazooka on Myvi Falcon oleh kimBall

030-kimball

Adaptasi mitologi Star Wars ke dalam dunia Lego mungkin bukan sesuatu yang baru, tetapi kimBall mengolahnya dengan lebih mendalam lagi. Penggunaan warna yang cerah ditambah dengan lorekan tekstur memberi karakter kepada karya ini,  begitu juga dengan cerita yang disampaikan dengan jelas dapat dilihat dari ekspresi wajah watak Solo dan Chewie yang sedang kalut diserang oleh Empire. Mungkin lebih hebat lagi sekiranya kimBall dapat mempersembahkan karya ini dalam bentuk jalur komik siap dengan dialog sekali :D .

Pilihan Editor: Hans Takut Lipas! oleh LobakOren dan Stella5

030-lobakoren stella5

Berani lawan Empire, tapi Han Solo takut lipas? Mungkin itu yang tertera di minda Chewbacca! LobakOren dan Stella5 menggambarkan hubungan domestik (?) antara Hans dan Chewie, tapi jangan pandai-pandai nak memesongkan maksud di sini ya! Persahabatan ini digambarkan dengan teknik ala manga yang kemas, bersahaja dan comel, menggunakan ekspresi wajah dan tubuh badan sebagai kekuatan karya ini.

Pilihan Editor: Sandarkan pada kenangan oleh hamzi

030-hamzi

Seperti biasa hamzi tidak mengecewakan dalam setiap pertandingan yang disertainya. Kita dapat lihat elemen-elemen komik barat dan timur bergabung di bawah berus hamzi. Ekspresi setiap watak di sini dipersembahkan dengan rapi dan teliti, yang mana persahabatan mereka dapat digambarkan dari pos back-to-back, siap sedia untuk menghadapi lawan dari bertentangan arah. Mungkin sedikit perhatian perlu diberikan pada bayang-bayang mereka yang agak terlalu bersahaja.

Pilihan Editor: armyOFtwo oleh ajinda dan kromosom

030-ajinda-kromosom

Penyertaan bersama ajinda dan kromosom ini memperlihatkan eksplorasi tekstur dan rupa yang eksesif yang dapat dilihat pada rekabentuk semula watak Chewbacca. Kehalusan teknik catan dan rendering yang digunakan berjaya memperkaya hasil akhir. Lihat sahaja keperincian pada seluar dan baju Hans Solo, serta wajah siborg Chewbacca yang menggerunkan. Ini adalah antara hasil karya yang tak perlu ditokok tambah dengan latar belakang yang mengada-ngada.

33 penyertaan keseluruhan: azharmaa, adijin, irkusydamha, mantoto (3), lepazo (2), katon_aqhari (2), oddy (3), rabun (2), riznam (2), little z3dD, Bajak, silentgecko, ZoOL!, hamzi (2), LobakOren, Stella5, tarakucha, kimBall, c u r d, ajinda, kromosom, odows, Skynet dan Prem_Chopra.

Untuk melihat semua penyertaan:  Topik Undian 030 Group 1, Topik Undian 030 Group 2.

029: Vincent Valentine (FF VII)

Friday, June 27th, 2008

029-original

Dari jalinan dunia maya Final Fantasy, muncul satu watak yang popular – Vincent Valentine! VV adalah salah satu watak  di dalam game Final Fantasy 7, yang kemudiannya menjadi protagonis bagi game Dirge of Cerberus. Dia mempunyai pelbagai kebolehan, antaranya boleh bertukar rupabentuk, imortaliti, stamina dan kadar pemulihan yang tinggi.

Sayembara ini telah berlangsung dari 22 Febuari hingga 1 Mac 2008

Pemenang Bersama: Dambaan Pilu oleh hamzi

029-winner-vince-hamzi

Vince mengorak langkah perlahan, fikirannya kosong, hatinya dibuai dambaan pilu. Karya hamzi ini bak kulit album irama pop-rock abad ke-21. hamzi menggunakan berlatar belakangkan kanvas putih yang kosong, menjadi kontras kepada watak rekaannya yang teliti dan terperinci. Ini membuatkan karyanya bagaikan menerpa ke arah audiens, dan pastinya itu menjadi salah satu tarikan kepada pengundi. Syabas hamzi!

Pemenang Bersama: double v oleh Just_jimi19 dan Little z3dD

029-winner-justjimi littlez3dd

Turut mengiringi hamzi pada kali ini ialah karya hasil usahasama Just_jimi19 dengan Little z3dD. Dengan mengekalkan hue merah pada keseluruhan lukisan ini, mereka mengenengahkan suasana yang harmoni dengan warna dominan Vincent Valentine. Tumpuan yang diberikan pada latar belakang yang terperinci menjadi kekuatan kepada karya ini dengan memberikan cerita dan konteks kepada watak yang sudah tersedia indah.

Pilihan Editor: Victor Valentino – Bunuh diri di hari Valentine oleh TakoyakiChan

029-takoyakichan

Ini merupakan karya TakoyakiChan yang paling ekspresif setakat ini. Bukan sahaja pada teknik berus kasar dan dakwat yang melimpah ruah, tetapi juga pada pose dan mesej cerita yang cuba disampaikan. Dengan menghadkan karya ini kepada skala kelabu, ia menimbulkan mood yang suram dan hening, membawa audiens untuk mengecapi kepasrahan Victor Valentino yang barangkali ditinggalkan kekasih di hari Valentine…

Pilihan Editor: Vincent cant draw oleh Invictus

029-invictus

Kau memang tak pandai melukis, Vincent! Rekabentuk bermotif organik yang kelihatan meliputi tubuh Vincent ini jelas sekali menjadi identiti Invictus, ditambah lagi dengan kain selubung yang carik dan serabai. Invictus juga mengekalkan ketelitian dan keperincian yang begitu sinonim dengan karyanya, yang dapat dilihat dengan jelas pada imej yang lebih besar.

Pilihan Editor: V for Valentine oleh azarimy

029-azarimy

azarimy menggunakan teknik noir ala Frank Miller yang disadur dengan teknik pisau atau berus keras ala Jae Lee untuk karyanya yang juga merupakan amalgamasi watak V dari komik V for Vendetta dengan Vincent Valentine. Kontras yang tinggi digunakan untuk mengurangkan outline, yang mana bentuk dan ruang dimanipulasi menggunakan unjuran positif dan negatif pada warna hitam dan putih bagi menampakkan lagi efek noir yang diimpikan.

Pilihan Editor: Vivian Valentine oleh hamzi dan Prem_Chopra

029-hamzi premchopra

Aduh ganteng! Ada sesuatu mengenai wanita jelita dengan warna merah yang begitu tangkas mencuri perhatian! hamzi dan Prem_Chopra tak teragak-agak melancarkan jurus maut dengan mengenakan bikini merah yang mengakibatkan pendarahan hidung tanpa henti para audiens. Mungkin cadangan yang boleh diberikan bagi memperhebatkan lagi karya ini adalah dengan menokok-tambah latar belakangnya. Gradien biru agak kurang komplimen kepada kombinasi merah-hitam watak Vivian Valentine ini.

31 penyertaan keseluruhan: DaunHijau, Mantoto (3), hamzi (3), Hariszzz, 3belas, kimBall, Xilence Swordswind, Prem_Chopra (3), TakoyakiChan, Nvrmnd (2), Azharmaa, Mysticmind, Oddy, Just_jimi19 (2), Little z3dD, Stella5, azarimy, Pijun, Bomb_piah, dAqlan, Irkusydamha, Ajinda dan Invictus.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 1, Topik Undian 2