Archive for the ‘Game’ Category

030: Han Solo & Chewbacca

Wednesday, July 23rd, 2008

030-original

Kali ini kita bermain dengan dua ikon yang tidak asing lagi – Han Solo dan Chewbacca! Hubungan “hutang nyawa” antara Chewbacca dengan Han Solo merupakan antara contoh chemistry layar perak yang terbaik, sungguhpun tak ada siapa pun yang faham apa yang dituturkan oleh Chewie. Chemistry inilah yang cuba diketengahkan dalam sayembara kali ini. Marilah kita lihat bagaimana para baladewa dan perajurit semua menafsirkan chemistry ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 1 Mac hingga 8 Mac 2008.

Pemenang Utama: Tengen Toppa Solo Briged! oleh little z3dD dan Bajak

030-winner-z3dd bajak

Misi pandang ke timur little z3dD dan Bajak berjaya menggondol gelaran pemenang utama dalam sayembara kali ini. Kekuatan karya ini terletak pada penafsiran semula setiap watak utama di dalam Star Wars (tidak terkongkong kepada Hans Solo dan Chewbacca sahaja), dan dijukstaposisikan dengan dunia Tengen Toppa Gurren Lagann. Gaya yang digunakan juga mengamati persembahan siri anime tersebut. Peminat-peminat kedua-dua filem dan animasi ini pasti teruja!

Pilihan Editor: Undi Wars: Episode XII Revenge of the Sris oleh silentgecko dan ZoOL!

030-silentgecko zool

Karya hasil usahasama dua pendekar terbilang ini mengekalkan ciri-ciri poster Star Wars yang unik, dengan reintepretasi dua watak tersebut yang menarik. Permainan efek cahaya pada senjata masing-masing menjadi tumpuan utama, lebih-lebih lagi apabila diapit dengan warna hitam di sekelilingnya. Amati juga rekaan semula Han Solo dengan tangan sibernetiknya, dan Chewbacca dengan kapak/tukul yang futuristik.

Pilihan Editor: Sayahan Solo and Chewbazooka on Myvi Falcon oleh kimBall

030-kimball

Adaptasi mitologi Star Wars ke dalam dunia Lego mungkin bukan sesuatu yang baru, tetapi kimBall mengolahnya dengan lebih mendalam lagi. Penggunaan warna yang cerah ditambah dengan lorekan tekstur memberi karakter kepada karya ini,  begitu juga dengan cerita yang disampaikan dengan jelas dapat dilihat dari ekspresi wajah watak Solo dan Chewie yang sedang kalut diserang oleh Empire. Mungkin lebih hebat lagi sekiranya kimBall dapat mempersembahkan karya ini dalam bentuk jalur komik siap dengan dialog sekali :D .

Pilihan Editor: Hans Takut Lipas! oleh LobakOren dan Stella5

030-lobakoren stella5

Berani lawan Empire, tapi Han Solo takut lipas? Mungkin itu yang tertera di minda Chewbacca! LobakOren dan Stella5 menggambarkan hubungan domestik (?) antara Hans dan Chewie, tapi jangan pandai-pandai nak memesongkan maksud di sini ya! Persahabatan ini digambarkan dengan teknik ala manga yang kemas, bersahaja dan comel, menggunakan ekspresi wajah dan tubuh badan sebagai kekuatan karya ini.

Pilihan Editor: Sandarkan pada kenangan oleh hamzi

030-hamzi

Seperti biasa hamzi tidak mengecewakan dalam setiap pertandingan yang disertainya. Kita dapat lihat elemen-elemen komik barat dan timur bergabung di bawah berus hamzi. Ekspresi setiap watak di sini dipersembahkan dengan rapi dan teliti, yang mana persahabatan mereka dapat digambarkan dari pos back-to-back, siap sedia untuk menghadapi lawan dari bertentangan arah. Mungkin sedikit perhatian perlu diberikan pada bayang-bayang mereka yang agak terlalu bersahaja.

Pilihan Editor: armyOFtwo oleh ajinda dan kromosom

030-ajinda-kromosom

Penyertaan bersama ajinda dan kromosom ini memperlihatkan eksplorasi tekstur dan rupa yang eksesif yang dapat dilihat pada rekabentuk semula watak Chewbacca. Kehalusan teknik catan dan rendering yang digunakan berjaya memperkaya hasil akhir. Lihat sahaja keperincian pada seluar dan baju Hans Solo, serta wajah siborg Chewbacca yang menggerunkan. Ini adalah antara hasil karya yang tak perlu ditokok tambah dengan latar belakang yang mengada-ngada.

33 penyertaan keseluruhan: azharmaa, adijin, irkusydamha, mantoto (3), lepazo (2), katon_aqhari (2), oddy (3), rabun (2), riznam (2), little z3dD, Bajak, silentgecko, ZoOL!, hamzi (2), LobakOren, Stella5, tarakucha, kimBall, c u r d, ajinda, kromosom, odows, Skynet dan Prem_Chopra.

Untuk melihat semua penyertaan:  Topik Undian 030 Group 1, Topik Undian 030 Group 2.

029: Vincent Valentine (FF VII)

Friday, June 27th, 2008

029-original

Dari jalinan dunia maya Final Fantasy, muncul satu watak yang popular – Vincent Valentine! VV adalah salah satu watak  di dalam game Final Fantasy 7, yang kemudiannya menjadi protagonis bagi game Dirge of Cerberus. Dia mempunyai pelbagai kebolehan, antaranya boleh bertukar rupabentuk, imortaliti, stamina dan kadar pemulihan yang tinggi.

Sayembara ini telah berlangsung dari 22 Febuari hingga 1 Mac 2008

Pemenang Bersama: Dambaan Pilu oleh hamzi

029-winner-vince-hamzi

Vince mengorak langkah perlahan, fikirannya kosong, hatinya dibuai dambaan pilu. Karya hamzi ini bak kulit album irama pop-rock abad ke-21. hamzi menggunakan berlatar belakangkan kanvas putih yang kosong, menjadi kontras kepada watak rekaannya yang teliti dan terperinci. Ini membuatkan karyanya bagaikan menerpa ke arah audiens, dan pastinya itu menjadi salah satu tarikan kepada pengundi. Syabas hamzi!

Pemenang Bersama: double v oleh Just_jimi19 dan Little z3dD

029-winner-justjimi littlez3dd

Turut mengiringi hamzi pada kali ini ialah karya hasil usahasama Just_jimi19 dengan Little z3dD. Dengan mengekalkan hue merah pada keseluruhan lukisan ini, mereka mengenengahkan suasana yang harmoni dengan warna dominan Vincent Valentine. Tumpuan yang diberikan pada latar belakang yang terperinci menjadi kekuatan kepada karya ini dengan memberikan cerita dan konteks kepada watak yang sudah tersedia indah.

Pilihan Editor: Victor Valentino – Bunuh diri di hari Valentine oleh TakoyakiChan

029-takoyakichan

Ini merupakan karya TakoyakiChan yang paling ekspresif setakat ini. Bukan sahaja pada teknik berus kasar dan dakwat yang melimpah ruah, tetapi juga pada pose dan mesej cerita yang cuba disampaikan. Dengan menghadkan karya ini kepada skala kelabu, ia menimbulkan mood yang suram dan hening, membawa audiens untuk mengecapi kepasrahan Victor Valentino yang barangkali ditinggalkan kekasih di hari Valentine…

Pilihan Editor: Vincent cant draw oleh Invictus

029-invictus

Kau memang tak pandai melukis, Vincent! Rekabentuk bermotif organik yang kelihatan meliputi tubuh Vincent ini jelas sekali menjadi identiti Invictus, ditambah lagi dengan kain selubung yang carik dan serabai. Invictus juga mengekalkan ketelitian dan keperincian yang begitu sinonim dengan karyanya, yang dapat dilihat dengan jelas pada imej yang lebih besar.

Pilihan Editor: V for Valentine oleh azarimy

029-azarimy

azarimy menggunakan teknik noir ala Frank Miller yang disadur dengan teknik pisau atau berus keras ala Jae Lee untuk karyanya yang juga merupakan amalgamasi watak V dari komik V for Vendetta dengan Vincent Valentine. Kontras yang tinggi digunakan untuk mengurangkan outline, yang mana bentuk dan ruang dimanipulasi menggunakan unjuran positif dan negatif pada warna hitam dan putih bagi menampakkan lagi efek noir yang diimpikan.

Pilihan Editor: Vivian Valentine oleh hamzi dan Prem_Chopra

029-hamzi premchopra

Aduh ganteng! Ada sesuatu mengenai wanita jelita dengan warna merah yang begitu tangkas mencuri perhatian! hamzi dan Prem_Chopra tak teragak-agak melancarkan jurus maut dengan mengenakan bikini merah yang mengakibatkan pendarahan hidung tanpa henti para audiens. Mungkin cadangan yang boleh diberikan bagi memperhebatkan lagi karya ini adalah dengan menokok-tambah latar belakangnya. Gradien biru agak kurang komplimen kepada kombinasi merah-hitam watak Vivian Valentine ini.

31 penyertaan keseluruhan: DaunHijau, Mantoto (3), hamzi (3), Hariszzz, 3belas, kimBall, Xilence Swordswind, Prem_Chopra (3), TakoyakiChan, Nvrmnd (2), Azharmaa, Mysticmind, Oddy, Just_jimi19 (2), Little z3dD, Stella5, azarimy, Pijun, Bomb_piah, dAqlan, Irkusydamha, Ajinda dan Invictus.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 1, Topik Undian 2

027: Kratos (God of War)

Tuesday, June 3rd, 2008

027-original

Siapa pulak Kratos ni?

Bagi gamers yang setia bersama Playstation 2, watak Kratos dari game God of War sudah pasti tidak asing lagi. Kratos, watak utama di dalam game ini, adalah seorang tentera Sparta (Greek) di zaman mitologi yang mengalami morfologi dari seorang kapten perang hinggalah menjadi dewa perang. Tak masuk akal? Inilah dunia fantasi yang menjadi latar belakang game tersebut, dan ini adalah antara elemen utama yang menjadikan sayembara kali ini lebih menarik!

Sayembara ini telah berlangsung dari 9 Febuari hingga 16 Febuari 2008

Pemenang Utama: God of War! oleh popiaman

027-winner-popiaman_small

Syabas popiaman! Sekali lagi popiaman merajai sayembara Pergh CRB dengan hasil karya yang hebat. Kratos diimaginasikan semula menjadi dewa perang yang tangkas bertarung. Disiplin di dalam karya ini dapat dilihat pada komposisi depan-tengah-belakang. Setiap satunya membawa cerita yang tersendiri – makhluk yang tewas dengan senjata berat terbenam di kepalanya; Dewa Kratos yang mengamuk; dan seekor lagi makhluk yang gugur dengan sebilah pedang tertanam di abdomennya.

Pilihan Editor: Kratos in Komikoo oleh TakoyakiChan

027-takoyakichan

Selepas Komikoo, kini Komikmoo menjelma mencuri perhatian! TakoyakiChan telah memberi lebih perhatian kepada komposisi kulit majalah ini. Pose Kratos membawa mata audiens ke sebelah kanan lukisan, membuatkan audiens tertanya-tanya apakah yang menjadi perhatian Kratos di luar lukisan? Masthead majalah juga tidak mengongkong komposisi tersebut, membolehkan fokus diberikan kepada ekspresi wajah Kratos yang bengis ini.

Pilihan Editor: Kratos versi Wanita oleh Rabun

027-rabun

Rabun pula mencuba teknik pensil, tetapi tidak menghadkannya kepada gaya tradisional. Teknik ini adalah kegemaran artis-artis pensil barat, yang biasanya akan dipenkan dan seterusnya diwarna menjadi komik yang sempurna. Ini membuatkan karya Rabun ini bagaikan salah satu panel di dalam sebuah komik epik yang hebat! Kalaulah komik ini benar-benar wujud…

Pilihan Editor: Dang Kraton oleh keribang

027-keribang

Dalam sesi ini keribang menonjolkan skil catan digital yang dipendam sekian lama. Di sini kita dapat lihat kompleksiti teknik berus dan warna yang digunakan dalam penghasilan bentuk dan ruang, terang dan gelap serta tekstur dan material. Walaupun keribang sengaja tidak menghalusi setiap perinci rekaannya, namun tekniknya mengajak minda audiens untuk membayangkan wujudnya keperincian yang teliti. Ini kita dapat pada armour serta wajah Dang Kraton di dalam karya ini.

Pilihan Editor: Apanama… oleh JetEaroplane

027-jetearoplane

Penggunaan berus-berus kasar oleh JetEaroplane ini tidak menghalang Kratos rekaannya untuk menyerlah. Apa yang menarik di sini ialah teknik yang sketchy ini masih mengekalkan sudut pencahayaan yang baik, membolehkan setiap bentuk, bonjolan dan lekuk Kratos dipersembahkan dengan baik. Mungkin karya ini boleh dikuatkan lagi dengan latar belakang yang lebih menarik.

Pilihan Editor: UndeadKratos oleh Invictus

027-invictus

Satu perkara yang patut menjadi perhatian peserta-peserta lain ialah bagaimana teknik pensil boleh digabungkan dengan catan digital untuk menghasilkan tekstur yang lebih realistik dan menarik. Teknik kegemaran Incivtus ini amat sesuai digunakan untuk hasil-hasil karya pahlawan atau pendekar fantasi, yang mana kehalusan detail yang amat kecil dapat memberikan impak yang besar kepada hasil keseluruhannya.

Pilihan Editor: Cis, bila keranda dibawa baru bercucuran air mata ! oleh hamzi

027-hamzi

Satu perkara yang menarik di dalam karya hamzi kali ini adalah penekanan yang diberikan kepada aksi dan latar belakang lukisan, sesuatu yang biasanya malas dilayan oleh hamzi. Ia menguatkan cerita, memberikan watak Kratos ini konteks yang lebih baik. Kita dapat lihat bagaimana pakaian medival beserta senjata barbarik Kratos ini amat sesuai dipasangkan dengan latar belakang dinding-dinding batu. Lengkuk perspektif yang digunakan menambah lagi impak aksi yang diberikan!

Pilihan Editor: Iron KRATOS oleh Hamzi dan Azharmaa

027-hamzi_azharmaa

Rekabentuk semula hasil usahama azharmaa dan hamzi mengalami evolusi yang amat berbeza berbanding yang lain. Cuba bayangkan kalau Kratos si dewa perang menggunakan sut perisai besi Iron Man? Bukan sahaja Kratos akan menjadi kebal, malah kuasa dan kebolehan sut Iron Man ini akan membolehkannya menakluki dunia!

Pilihan Editor: PerghATOS oleh azarimy

027-azarimy

Mengikut jejak langkah pensil+catan digital yang lain, karya azarimy kali ini menekankan detail-detail yang timbul daripada penggunaan warna-warna gelap yang eksesif. Ini menyebabkan audiens perlu betul-betul mengamati lukisan ini untuk melihat Kratos yang tergantung di dada raksasa. Selebihnya terpulang kepada imaginasi audiens untuk melihat apa yang tersirat.

37 penyertaan keseluruhan: azarimy, pijun, Prem_Chopra, keribang (2), Yanjymz, Ajinda (2), Oddy, Katon_aqhari (3), JetEaroplane, Jack Oreo, d4z, DaunHijau, Hamzi (3), TakoyakiChan (3), Mantoto (2), Alamroniba, Rabun, 3belas, tarakucha, Irkusydamha, Invictus, Garagerock, IceSoul, Azharmaa (2), Riezal83, popiaman dan Skynet.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 027 Group 1, Topik Undian 027 Group 2 dan Topik Undian 027 Group 3