Archive for the ‘Kartun’ Category

031: Optimus Prime

Wednesday, July 23rd, 2008

031-original

Nah, siapa tak kenal Optimus Prime? Ketua Autobot dari siri animasi, komik dan filem Transformers ini merupakan idola pujaan kanak-kanak sekitar 80an sehingga kini. Terdapat pelbagai versi Optimus Prime digarap dalam pelbagai siri alternatif atau spin-off, dan kini Pergh CRB memberi peluang untuk ahli perghdotcom untuk mencelup berus ke dalam mangkuk idea masing-masing dan berikan yang terbaik!

Sayembara ini telah berlangsung dari 8 Mac hingga 15 Mac 2008.

Pemenang Bersama: Optimaxx Z! oleh little z3dD

031-winner-z3dD

Walaupun tidak menampilkan keseluruhan rekabentuk semula watak ini, ia tidak menghalang dari audiens mengimaginasi sendiri keseluruhan rekaannya sehingga menonjolkan little z3dD sebagai pemenang! Suasana suram diterangi cahaya lampu limpah menjadi ambiens yang menampilkan Prime di dalam konteks yang futuristik. Kita juga dihadiahkan dengan elemen-elemen dari pelbagai versi Prime yang terdahulu, digarap halus menjadi sebahagian dari cerita yang disampaikan. Ini menjadikan karya ini bukan hanya satu hasil visual, tetapi mempunyai pelbagai lapisan cerita tersirat disebaliknya!

Pemenang Bersama: kemuncak optimum klimax oleh hamzi

031-winner-hamzi

Bak pulang ke asal, hamzi merekabentuk semula Prime dengan menyadurkan elemen-elemen samurai Jepun. Dari pedang, perisai hinggalah kepada keperincian di segenap jasad besi Prime, hamzi cuba menerapkan bukan setakat rupa, tetapi juga gaya samurai mengorak tari pertarungan. Tetapi dia tidak berhenti di situ. Efek sambaran elektrik yang digunakan bersama-sama teknik pencahayaan yang baik menambahkan lagi impak pose yang digunakan.

Pilihan Editor: Optimus Prime 2099 oleh azarimy

031-azarimy

azarimy cuba lari dari warna-warni Prime yang dominan dengan persembahannya yang monokromatik. Tidak terhad di situ, Prime rekaannya juga tidak berdasarkan kenderaan darat, tetapi sebuah pesawat udara. Ini dapat dilihat dari elemen-elemen sayap, jet enjin dan sebagainya yang memberi bayangan pesawat asalnya.

Pilihan Editor: F22 Decepticon oleh Invictus

031-invictus

Beralih dari rekabentuk humanoid, Invictus mencabar minda dengan rekabentuk Prime yang telah jatuh ke dalam idealogi Decepticon. Rekabentuk Prime ini selari dengan rekabentuk robot-robot Decepticon di dalam filem Transformers baru-baru ini,  mungkin Invictus patut cuba membuat eksplorasi yang menjurus ke situ. Mana tahu, mungkin boleh mintak kerja di situ ;) .

Pilihan Editor: Prime of Zenth oleh Hariszzz

031-hariszzz

Sekali imbas kita dapat lihat betapa uniknya rekabentuk Prime karya Hariszzz ini. Permainan tekstur permukaan yang diliputi ukiran-ukiran halus dengan bentuk-bentuk organik di seluruh jasadnya memberikan tafsiran berbeza kepada watak ini. Ini membuatkan kita cuba berfikir – apakah objek yang terbentuk apabila Prime ini berubah? Musykil, musykil.

17 penyertaan keseluruhan: lepazo (2), azarimy (2),  stingray_flyz, DinJerr, riznam, irkusydamha, hamzi, mantoto, Xilence Swordswind, little z3dD, jack oreo, babat:ism, hami_drfrix, Hariszzz dan Invictus.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 031.

028: Spawn

Thursday, June 5th, 2008

028-original

Watak Spawn karya Todd Mcfarlane ini terhasil sebagai sebuah komik yang berat dengan elemen-elemen keagamaan, walaupun pada dasarnya ia adalah sebuah cerita superhero berlandaskan fantasi. Ini merupakan antara keunikan yang menjadi tarikan utama kepada watak ini sehingga diterbitkan dalam pelbagai media, dari kartun sehinggalah ke layar perak. Keunikan inilah yang menjadi korban pensel dan berus artis-artis pada minggu ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 16 Febuari hingga 23 Febuari 2008.

Pemenang Utama: Spawn Hanuman oleh kromosom

028-winner-kromosom

Apa identiti Spawn yang tinggal? kromosom tidak teragak-agak memberikan olahan besar-besaran terhadap watak Spawn, hingga yang tinggal adalah elemen-elemen kecil yang hanya dapat dilihat sekiranya diamati betul-betul. Antaranya belang putih berlatarkan hitam di dada Spawn, rantai besi yang berungkai dan jalur-jalur jubah merahnya yang telah diubahsuai. Dalam pada masa yang sama, elemen-elemen nusantara dan pseudo-mitologi juga disuntik ke dalam rekabentuk ini menjadikannya antara penyertaan yang paling unik. Syabas buat kromosom!

Pilihan Editor: Shama Spawn oleh ZoOL!

028-zool

Pada dasarnya ZoOL! masih mengekalkan sifat-sifat dasar yang menjadi identiti Spawn, tetapi telah diolah dan dihuraikan dengan suntikan imaginasi yang lebih mantap. Cahaya keemasan di bahagian bawah lukisan ini menjadi pendefinasi utama yang menonjolkan aura-aura mistikal, harmoni di dalam kontras kepada cahaya suram-suram suam dari bahagian atas. Ini membolehkan Spawn rekaan ZoOL! dipamerkan di bawah suasana yang lebih dinamik, terutama pada efek pencahayaan yang melimpah ke atas segenap permukaannya.

Pilihan Editor: S7! oleh little_z3dD

028-z3dd

Kali ini kita di bawa untuk membayangkan sekiranya Ultraman gugur ke neraka, mungkin dia akan direkrut untuk menjadi Ultra Spawn! Persembahan bergaya oleh little z3dD ini bermain dengan fokus untuk mewujudkan dinamik di dalam komposisinya. Lihat bagaimana rantai besi di depan lensa yang kabur membawa mata audiens perlahan-lahan ke arah watak Spawn yang sedang digamit kemarahan. Mudah tetapi amat berkesan.

Pilihan Editor: Sepam oleh Skynet

028-skynet

Merokok membahayakan kesihatan! Tapi kalau dah mati, takpayah nak fikir pasal kesihatan, betul tak? Skynet kali ini banyak bermain dengan bayang hitam, yang mana kita dapat perhatikan teknik catannya banyak diberikan untuk mendefinasikan silhoutte berbanding kepada watak itu sendiri. Cara ini amat bergantung kepada imaginasi audiens untuk memahami rekabentuk yang tidak dapat dilihat, menjadikannya satu karya yang simbolik.

Pilihan Editor: Wanda!!! oleh Rosh dan popiaman

028-rosh popiaman

Usahasama Rosh dengan popiaman membuahkan hasil yang begitu hebat sekali. Teknik-teknik yang digunakan mendefinasikan figura dan kelengkapan mereka, terutamanya pada tekstur berus yang digunakan serta pencahayaan dinamik dari pelbagai arah. Kata-kata indah dan bombastik tak akan dapat merungkai kehebatan usahasama dua dewa ini!

Pilihan Editor: Hell Spawn SD oleh Jack Oreo

028-jack oreo

Simplisiti rekabentuk oleh Jack Oreo ini menjadi kriteria utama ia menjadi pilihan editor. Proportion Hell Spawn SD yang berkepala dan mata yang besar di samping tubuh yang comel, serta tanduk atau telinga ala bunny membuatkannya mirip kepada watak-watak comel produksi Jepun. Ya, nampak garang, tetapi tetap comel ;) .

Pilihan Editor: CreechSpawn oleh Prem_Chopra dan Amirzakirana

028-prem chopra-amirzakirana

Kekuatan karya hasil usahasama Prem_Chopra dengan Amirzakirana ini terletak kepada kompleksiti cerita yang cuba disampaikan. Setiap aksi, pergerakkan dan komposisinya menyampaikan pelbagai cerita yang berbeza. Malah rekabentuk Spawn itu sendiri nampak telah mengalami proses rekabentuk semula yang panjang. Tekstur yang digarap ke dalam karya ini juga amat membantu mencapai penyudah yang kukuh.

48 penyertaan keseluruhan: Skynet, Hami_drfrix (2), WAVE RIDER (3), buckethead (2), keribang (2), kromosom, Billy_Zee, Mantoto, Narami_San, Daqlan, Prem_Chopra (3), azharmaa (3), Invictus, Rosh, popiaman, ZoOL!, Katon_aqhari, Oddy (2), Irkusydamha (2), Hariszzz, Loque, Garagerock, Bomb_piah (2), Stingray_flyz, Little z3dD, Tarakucha, Nvrmnd, Aoisora119, Jack Oreo, Babat:ism, DaunHijau, Pijun, hamzi, Rabun, Amirzakirana, Just_jimi19 dan ICeSoul.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 1, Topik Undian 2 dan Topik Undian 3

026: Dr. Doom (Fantastic Four)

Saturday, May 31st, 2008

026-original

Bagi mereka yang tak tahu, Dr. Doom adalah musuh ketat pasukan superhero Fantastic Four. Wajahnya telah menjadi hodoh akibat eksperimen yang gagal, membuatkan Dr. Victor von Doom menyembunyikan wajahnya di sebalik topeng besi. Wajahnya yang baru ini menjadi begitu ikonik dan sinonim kepada penaklukan dunia. Tambahan lagi dengan dendam kesumatnya terhadap Reed Richards. Bertentangan dengan filem Fantastic Four, Dr. Doom pada hakikatnya tidak mempunya sebarang superpowers, dia bergantung sepenuhnya kepada kekuasan intelek yang hampir tidak terbatas.

Sayembara ini telah berlangsung dari 2 Febuari hingga 9 Febuari 2008

Pemenang Utama: I’m Doomed oleh Rosh

026-winner-rosh2

Rosh tidak memberi banyak ruang untuk peserta-peserta lain bersaing dalam sayembara kali ini. Rekabentuk Dr. Doom oleh Rosh ini dilengkapi dengan armour besi yang amat terperinci, dengan lapisan demi lapisan dan plet-plet perisai besi meliputi seluruh tubuhnya. Sentuhan terakhir pada sinar limpahan dari bawah kanan dan kilauan-kilauan pada perisai besi karakter ini memastikan gelaran juara minggu ini menjadi milik Rosh! Tahniah!

Pilihan Editor: Nicholai Ivanov von Doom III oleh Bohrtaag

026-bohrtaag

Percubaan Bohrtaag untuk mengecapi idea Dr. Doom sebagai pemerintah Latveria (sebuah negara fiksyen) telah menghasilkan sebuah karya yang mirip kepada lukisan-lukisan era renaissance. Penggunaan bingkai yang begitu klasik dan teknik catan warna ala minyak menguatkan lagi efek yang diingini. Ini adalah satu contoh di mana apabila sesuatu konsep itu dipegang, ia dapat dilihat dari seluruh aspek karya tersebut.

Pilihan Editor: Judge Doom oleh keribang

026-keribang

Keribang masih lagi mengekalkan teknik pensil tradisionalnya di dalam karya kali ini. Lihat bagaimana emfasis kepada tekanan lorekan pensil menimbulkan kontras gelap dan terang, yang akhirnya menimbulkan bentuk jasad tersebut. Di sini pengetahuan pencahayaan amat penting, terutama sekali apabila dikombinasikan dengan lipatan kain yang begitu realistik.

Pilihan Editor: Dr. Doom Kaya Gila oleh silentgecko

026-silentgecko

Rekabentuk silentgecko ini menerapkan ciri-ciri fantasi medieval. Kita boleh amati ciri-ciri ini dari kelengkapan armour yang disadurkan dengan tunik dan jubah. Namun kekuatan karya ini bukan terhad kepada rekabentuknya sahaja. Teknik catan yang menekankan pada kontras dan pencahayaan yang dinamik menjadikan keseluruhan karya ini satu tahap di atas yang lain.

Pilihan Editor: PapaDoom oleh tarakucha

026-tarakucha

Pendekatan simplistik yang digunakan oleh tarakucha amat sesuai dalam menghasilkan fesyen untuk pemimpin-pemimpin diktator seperti Dr. Doom. Ia membolehkan kita mengamati susunatur pakaian, tekstur dan aura-aura kemegahan dengan jelas. Mungkin kita patut cadang kepada tarakucha untuk merekabentuk pakaian musim panas, barangkali?

37 penyertaan keseluruhan: madliquid, kimBall, Garagerock, Devilmumu, buckethead (3), Stingray_flyz, Katon_Aqhari, DaunHijau, azarimy (2), Skynet, Azharmaa, Prem_Chopra (2), rosh, hamzi, Bomb_piah, ejaisky (2), oddy (4), Pijun, Irkusydamha, Bohrtaag, keribang, Rabun, adijin, Tarakucha, Mantoto, Lepazo, 3belas, Jack Oreo, Invictus dan silentgecko.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 026 Group 1, Topik Undian 026 Group 2 dan Topik Undian 026 Group 3.