Archive for the ‘Komik’ Category

026: Dr. Doom (Fantastic Four)

Saturday, May 31st, 2008

026-original

Bagi mereka yang tak tahu, Dr. Doom adalah musuh ketat pasukan superhero Fantastic Four. Wajahnya telah menjadi hodoh akibat eksperimen yang gagal, membuatkan Dr. Victor von Doom menyembunyikan wajahnya di sebalik topeng besi. Wajahnya yang baru ini menjadi begitu ikonik dan sinonim kepada penaklukan dunia. Tambahan lagi dengan dendam kesumatnya terhadap Reed Richards. Bertentangan dengan filem Fantastic Four, Dr. Doom pada hakikatnya tidak mempunya sebarang superpowers, dia bergantung sepenuhnya kepada kekuasan intelek yang hampir tidak terbatas.

Sayembara ini telah berlangsung dari 2 Febuari hingga 9 Febuari 2008

Pemenang Utama: I’m Doomed oleh Rosh

026-winner-rosh2

Rosh tidak memberi banyak ruang untuk peserta-peserta lain bersaing dalam sayembara kali ini. Rekabentuk Dr. Doom oleh Rosh ini dilengkapi dengan armour besi yang amat terperinci, dengan lapisan demi lapisan dan plet-plet perisai besi meliputi seluruh tubuhnya. Sentuhan terakhir pada sinar limpahan dari bawah kanan dan kilauan-kilauan pada perisai besi karakter ini memastikan gelaran juara minggu ini menjadi milik Rosh! Tahniah!

Pilihan Editor: Nicholai Ivanov von Doom III oleh Bohrtaag

026-bohrtaag

Percubaan Bohrtaag untuk mengecapi idea Dr. Doom sebagai pemerintah Latveria (sebuah negara fiksyen) telah menghasilkan sebuah karya yang mirip kepada lukisan-lukisan era renaissance. Penggunaan bingkai yang begitu klasik dan teknik catan warna ala minyak menguatkan lagi efek yang diingini. Ini adalah satu contoh di mana apabila sesuatu konsep itu dipegang, ia dapat dilihat dari seluruh aspek karya tersebut.

Pilihan Editor: Judge Doom oleh keribang

026-keribang

Keribang masih lagi mengekalkan teknik pensil tradisionalnya di dalam karya kali ini. Lihat bagaimana emfasis kepada tekanan lorekan pensil menimbulkan kontras gelap dan terang, yang akhirnya menimbulkan bentuk jasad tersebut. Di sini pengetahuan pencahayaan amat penting, terutama sekali apabila dikombinasikan dengan lipatan kain yang begitu realistik.

Pilihan Editor: Dr. Doom Kaya Gila oleh silentgecko

026-silentgecko

Rekabentuk silentgecko ini menerapkan ciri-ciri fantasi medieval. Kita boleh amati ciri-ciri ini dari kelengkapan armour yang disadurkan dengan tunik dan jubah. Namun kekuatan karya ini bukan terhad kepada rekabentuknya sahaja. Teknik catan yang menekankan pada kontras dan pencahayaan yang dinamik menjadikan keseluruhan karya ini satu tahap di atas yang lain.

Pilihan Editor: PapaDoom oleh tarakucha

026-tarakucha

Pendekatan simplistik yang digunakan oleh tarakucha amat sesuai dalam menghasilkan fesyen untuk pemimpin-pemimpin diktator seperti Dr. Doom. Ia membolehkan kita mengamati susunatur pakaian, tekstur dan aura-aura kemegahan dengan jelas. Mungkin kita patut cadang kepada tarakucha untuk merekabentuk pakaian musim panas, barangkali?

37 penyertaan keseluruhan: madliquid, kimBall, Garagerock, Devilmumu, buckethead (3), Stingray_flyz, Katon_Aqhari, DaunHijau, azarimy (2), Skynet, Azharmaa, Prem_Chopra (2), rosh, hamzi, Bomb_piah, ejaisky (2), oddy (4), Pijun, Irkusydamha, Bohrtaag, keribang, Rabun, adijin, Tarakucha, Mantoto, Lepazo, 3belas, Jack Oreo, Invictus dan silentgecko.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 026 Group 1, Topik Undian 026 Group 2 dan Topik Undian 026 Group 3.

025: Splinter (TMNT)

Monday, May 26th, 2008

025-original

Sekali lagi kita mengimbas watak kartun yang kini telah diklasifikasikan sebagai klasik. Kartun Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT) pernah satu ketika dahulu mendominasi hampir semua media berorientasikan kanak-kanak, baik di TV, komik, buku mewarna, permainan hinggalah ke layar perak. Namun di sini kita tak cuba merekabentuk semula TMNT, tetapi memfokus kepada tok guru mereka, Splinter. Splinter adalah seekor tikus mutant yang mahir dalam ilmu ninjutsu yang membesarkan 4 ekor penyu mutant - Leonardo, Donatello, Raphael dan Michaelangelo - dan melatih mereka untuk melawat jenayah.

Sayembara ini telah berlangsung dari 26 Januari hingga 2 Febuari 2008

Pemenang Utama: Homato Yoshei Sensei oleh little_z3dD

025-winner-z3dd

Melihatkan pada sudut kamera pun sudah cukup untuk menonjolkan mengapa karya little_z3dD ini menjadi pilihan ramai. Ia dikuatkan lagi dengan fore-shortening yang menggambarkan kelincahan Splinter versi mahaguru ini. Awasi juga kombinasi tekstur lantai yang statik dengan garisan-garisan di latar belakang

Pilihan Editor: splinterMONO oleh Invictus

025-invictus

Seperti biasa Invictus menampilkan teknik dakwat manual yang amat terperinci. Kehalusan dan ketekunannya patut dijadikan contoh dan ikutan oleh sesiapa yang baru hendak menceburkan diri dalam pertarungan ini. Namun begitu, karya ini dapat dikukuhkan lagi dengan betul-betul mengawal keseimbangan hitam putih, seperti yin dan yang yang tertera di kelubung kepala Splinter ini.

Pilihan Editor: Ayahku Mengamuk Lagi oleh t a n g h dan silentgecko

025-tanghsilentgecko

Hasil kolaborasi t a n g h dengan silentgecko ini amat menjiwai semangat Violator dari Spawn karya Todd McFarlane. Tak tahulah samada ianya satu yang disengajakan atau tidak, tetapi teknik inking dan warna digitalnya begitu kemas, setaraf dengan karya-karya komik mainstream.

Pilihan Editor: Abang Splinter oleh Rook

025-rook

Rook mencuba sesuatu yang berbeza. Splinter telah diberi wajah baru dengan teknik catan ala marker basah dan cat air yang menjadi teknik kegemaran Masamune Shirow dalam komik-komiknya yang awal seperti Appleseed dan Ghost in the Shell. Mungkin sekiranya Rook menghabiskan lebih masa dalam menghias latar belakang ata sekurang-kurangnya menambahkan detail pada lantai/tanah, karya ini akan menjadi lebih menarik lagi.

Pilihan Editor: Splinter 2142 - Pemburu Kekura Terakhir oleh Ajinda

025-ajinda

Ini semestinya antara karya terbaik yang dihasilkan oleh Ajinda setakat ini. Kita dapat lihat pelbagai teknik berus yang digunakan untuk menghasilkan efek-efek tertentu. Contohnya tekstur cangkerang kura-kura, kulit lembut kura-kura, rambut Splinter, pakaian Splinter dan darah yang tersembur. Penggunaan warna yang monoton juga memudahkan Ajinda untuk memfokus kepada mengasilkan teknik pencahayaan yang baik.

Pilihan Editor: Pendekar MusRAT oleh bohrtaag

025-bohrtaag

Pilihan Editor: When Splinter meets the Ham-hams oleh azarimy

025-azarimy

Watak-watak hamster yang comel dari siri Hamtaro telah dieksploitasi oleh azarimy dalam usahanya untuk meraih undi. Teknik vektor yang digunakan menghasilkan persembahan yang kemas dengan warna-warna yang lembut, sesuai dengan imej animasi Hamtaro. Di sini teknik garisan yang kemas memainkan peranan penting, dan teknik vektor merupakan teknik yang paling sesuai.

41 penyertaan keseluruhan: Jack_Oreo (2), Katon_Aqhari (3), Hami_drfrix (2), WAVE RIDER (2), BatmanBegins, HKM, Oddy (2), babat:ism, TakoyakiChan, little_z3dD, Ajinda (2), ICeSoul, Irkusydamha, Hariszzz, deGenG, stingray_flyz (2), Prem_Chopra, t a n g h, silentgecko, bomb_piah (3), bohrtaag, hamzi, azharmaa, azarimy, kimBall, Yanjymz, orangdiam2, Skynet, kanben, Rook dan invictus.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Penyertaan 025

020: Penjejak Badai (Nie Feng)

Monday, April 21st, 2008

020-original

Penjejak Badai atau Nie Feng adalah nama yang tidak asing lagi, baik di dunia seni tempur Fung Wan, mahupun di pasaran komik Malaysia. Pedang Setiawan, nama komik Fung Wan di Malaysia, telah mendominasi pasaran komik tanahair dengan cerita yang membuai, lukisan yang mengkagumkan, dan seni tempur yang menakjubkan. Pastinya ramai yang sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan komik dan watak ini, dan dalam sayembara kali ini, penganjur membawa pejuang-pejuang semua mengimbau nostalgia Nie Feng dan pengembaraannya!

Sayembara ini telah berlangsung dari 22 hingga 29 Disember 2007

Pemenang Utama: Badai mencak kelabit oleh kromosom

020-winner-kromosom

Keunggulan karya kromosom ini tak dapat dinafikan lagi. Mungkin ada yang perasan Penjejak Badai kromosom ini nampak lebih kepada pendekar Melayu. Mungkin itu olahan yang sengaja diterapkan oleh kromosom. Sudut kamera yang dipilih menguatkan lagi unsur gah lukisan ini.

Pilihan Editor: Wind oleh Adijin

020-adijin

Ada sesuatu di dalam karya Adijin ini yang mengingatkan audiens kepada anime dan manga-manga Jepun berkisar mengenai pengembaraan samurai dan ronin di zaman feudal Jepun. Teknik berus dan dakwat yang bersahaja tetapi berani berjaya menjiwai semangat baru dalam reintepretasi Penjejak Badai ini.

Pilihan Editor: Badai Langit Amarah oleh ALYRIDURA

020-alyridura

Yosshh!! Badai menghambur menembusi langit amarah. Ini adalah satu karya yang tak perlu disisipi dengan kata-kata indah. ALYRIDURA tampil dengan karya yang menjiwai seni ala Ma Wing Sing, terutamanya pada pilihan warna, sumber cahaya dan aksi yang ditonjolkan.

Pilihan Editor: Tafakur oleh VirusAC-74

020-virusAC

Kehalusan, ketelitian dan ketekunan yang jelas tergambar di sini patut dikagumi oleh barisan pejuang sayembara perghdotcom. Ini adalah satu teknik yang tak perlu diwarnai untuk dinikmati sepenuhnya. Efek kelam yang digunakan pada latar belakang pedang menimbulkan fokus yang jitu dalam karya ini. Sungguhpun pada dasarnya hampir-hampir simetri, VirusAC-74 sengaja menggunakan sudut kamera yang dinamik bagi melonggarkan skemanya.

Pilihan Editor: of blood and wind oleh Stella5

020-stella

Karya Stella5 ini amat terkawal: warnanya diffused, dengan tekstur kertas yang mendominasi latar belakang dan teknik berus ala pensel. Ia menggambarkan Penjejak Badai yang penuh kesenian, hampir-hampir androgenus, tetapi kekal misterius!

Pilihan Editor: Gadis Badai oleh azarimy

020-azarimy

Teknik catan pisau yang digunakan oleh azarimy menghasilkan satu karya yang agak surreal. Ia tidak cuba dikawal oleh sesuatu aturan atau teknik, menyebabkan hasilnya terapung-apung tidak berasas. Bukan suatu komen yang baik, tetapi mungkin inilah efek yang cuba dijiwai dalam merekabentuk semula Penjejak Badai.

Pilihan Editor: badai, air dan dot dot dot oleh sapot_poleng

020-sapot_poleng

Sapot_poleng menyadurkan elemen-elemen futuristik di dalam rekabentuknya ini, menggantikan unikorn teman sejatinya dengan kenderaan mekanikal. Bagaimanapun sopt_poleng masih mengekalkan karakteristik komik Pedang Setiawan dengan paletnya yang terkawal dan garit-garit berus yang digunakannya.

Pilihan Editor: Pembajak Bagai oleh Chakra

020-chakra

Secara ikhlas, karya Chakra ini adalah antara yang terbaik untuk menandingi karya kromosom. Kita dapat lihat amalgamasi beberapa pengaruh yang diketengahkan oleh Chakra, antaranya unsur-unsur fantasi tegar barat, penggunaan warna yang amat terperinci dan pos megah dan gagah memberi nafas baru kepada watak Penjejak Badai ini. Syabas Chakra!

Pilihan Editor: Puan Sri Badai oleh Prem_Chopra

020-prem_chopra

Puan Sri Badai ini telah dihasilkan dengan gaya ala kartun animasi barat dengan garisan-garisan profil yang tebal dengan teknik warna animasi cell. Mungkin Prem_Chopra agak rakus dalam menghasilkan efek angin di atas, namun secara sengaja atau tidak, ia mengalihkan fokus audiens kepada mata Puan Sri Badai yang melirik.

29 penyertaan keseluruhan: Prem_Chopra, adzakael, hamzi, katon_aqhari, pijun, aoisora119 (2), adijin, VirusAC-74, buckethead, ICeSoul, Nusantarian, d4z (2), mysticmind, azarimy, PsychoSid, kromosom, paYoL, irkusydamha, t a n g h, ajinda, ALYRIDURA, Stella5, TakoyakiChan, sapot_poleng, invictus, chakra dan Rook.

Untuk melihat semua penyertaan: Topik Undian 20 Kumpulan 1, Topik Undian 20 Kumpulan 2.