Perghdotcom Battle Showcase

Siapa kata Malaysia tak ada talent? Blog ini mempamerkan hasil seni artis-artis komik Malaysia yang terbit dari pertandingan merekabentuk semula watak-watak yang dianjurkan oleh Pergh!, komuniti online artis-artis komik Malaysia.

Posts Tagged ‘lagenda’

021: Puteri Gunung Ledang

Friday, May 16th, 2008

Puteri Gunung Ledang adalah satu watak lagenda yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Malaysia. Ini ditambah pula dengan adaptasi lagenda tersebut ke dalam filem bajet besar dengan tajuk yang sama lakonan Tiara Jacquelina. Ada yang suka, tak kurang juga yang kurang bersetuju dengan garapan PGL sebagai puteri Jawa. Jadi sayembara perghdotcom kali ini membawa peserta untuk mengimaginasikan semula Puteri Gunung Ledang.

Sayembara ini telah berlangsung dari 29 Disember 2007 hingga 4 Januari 2008.

Pemenang Utama: Invictus - PGLgold

winner - invictus

Untuk pertandingan kali ini, Invictus tak teragak-agak untuk menghasilkan sebuah karya berskala besar dengan perincian yang halus dan teliti. Rekabentuk PGLnya ini dihalusi dengan elemen-elemen organik bermotif tumbuh-tumbuhan, tetapi diberi nafas baru dan tidak dikongkong oleh elemen organik kemelayuan. Ketekunannya terbukti berhasil apabila PGLgold telah mendapat undian tertinggi, lantas menakluki semua peserta-peserta lain. Syabas Invictus!

Pilihan Editor: hamzi - Ketua Pandu Puteri

021-hamzi

hamzi memilih untuk menggunakan unsur-unsur fantasi moden untuk rekabentuk PGLnya. Pose yang diberikan begitu menarik dan dinamik, aksinya boleh diintepretasikan kepada pelbagai cerita. Penggunaan warna yang lembut tetapi dikontraskan dengan hiasan-hiasan keemasan memberi penyudah yang amat baik dan terkawal.

Pilihan Editor: rosh - Puteri Gunung Ledang

021-rosh

Baladewa rosh bagaikan tidak perlu bersengkang mata dalam menghasilkan rekabentuk PGLnya. Di sini rosh mengekalkan imej tradisional PGL di dalam kedua-dua versi rekaannya. Mungkin ini memudahkan audiens untuk memilih PGL mana yang lebih sesuai untuk diundi - dan apapun pilihan mereka, mereka tetap mengundi rosh!

Pilihan Editor: Sapot_poleng -Puteri Gulung Benang

021-sapot_poleng

Ah sudah, bila masa pulak PGL pandai main yo-yo? Idea PGL main benang ini amat unik, terutama sekali apabila kita berpintal lidah nak mengaitkan nama Puteri Gunung Ledang dengan Puteri Gulung Benang. Gaya sketchy yang digunakannya amat bersesuaian dalam menghasilkan aksi pergerakkan PGL yang sedang menari. Mungkin kalau dapat diperincikan lagi pada bahagian ekspresi wajah dan jari-jemari, mungkin karya ini boleh mencuri perhatian pengundi lebih lagi!

Pilihan Editor: Skynet - PGL2008

021-skynet

Karya Skynet ini perlu diberi kredit kerana persembahan penuh yang semakin jarang dihasilkan oleh peserta-peserta sayembara ini. Pemandangan air terjun dengan remang mentari di ufuk horizon bagai meraikan laungan PGL ini hinggakan kita dapat rasakan Skynet mahu menyampaikan suatu cerita kepada audiens. Tak perlu belon dialog, tak perlu kapsyen, tak perlu naratif! Semuanya telah tersirat.

22 Penyertaan Keseluruhan: riz, rosh, TakoyakiChan, hamzi (2), riznam, adzakael (2), Rook, t a n g h, sapot_poleng, katon_aqhari (2), shiori_LA, Skynet, azharmaa, Prem_Chopra, kromosom, ICeSoul, invictus, ajinda dan buckethead.

Untuk melihat keseluruhan penyertaan: Topik Undian 021.

008: Sang Kelembai

Wednesday, December 19th, 2007

Siapakah Sang Kelembai? Sang Kelembai atau juga dikenali sebagai Sang Gedembai adalah sejenis makhluk gergasi yang mengikut dongeng Melayu tinggal di dalam hutan jauh dari penempatan manusia. Sang Kelembai hidup tersisih kerana sumpahan yang menghantuinya - setiap benda yang ditegurnya akan bertukar menjadi batu. Namun ada juga yang mengatakan ia bukannya sumpahan, tetapi anugerah. Macam cerita super hero pulak!

Sayembara ini mengimbau imaginasi peserta untuk membayangkan Sang Kelembai mengikut dongeng Melayu. Tiada gambaran awal untuk sayembara kali ini, dan semuanya berdasarkan kemampuan peserta untuk membuat kajian masing-masing terhadap subjek ini.

Sayembara ini telah berlangsung dari 14 September hingga 21 September 2007.

Pemenang Utama: Gedembai Emo oleh kromosom

08-winner-kromosom

Dengan menggunakan palet yang mudah, kromosom menyandarkan rekabentuk Sang Gedembai yang emosional. Kesedihan tergambar jelas di raut wajahnya, berjuxtaposisi dengan susuk tubuh yang gagah dengan lipatan kerak-kerak otot yang bersimpang siur. Gradien warna yang digunakan juga menambahkan lagi impak emosi suram pada karyanya ini.

Pilihan Editor: Siti Kelembai oleh Tangh

08-tangh

Tangh akhirnya menunjukkan taringnya dengan persembahan ala komik yang ringkas tetapi padat. Tak perlu dialog, tak perlu narasi. Hanya memek muka dan gerak tubuh menyampaikan cerita.

Pilihan Editor: Kelembaiku oleh popiaman

08-popiaman

Amarah dengan gegak gempita Sang Kelembai popiaman menyerbu keluar dari paparan skrin anda! Rekabentuk nukilan popiaman ini menonjolkan Sang Kelembai yang mungkin dipengaruhi makhluk siklop dari mitologi greek, tetapi tidak kurang impaknya dengan aksi pergerakkan yang menarik.

Pilihan Editor: Dark Kelembai oleh invictus

08-invictus

Ini pula adalah Sang Kelembai ala nenek kebayan. Namun invictus menyuntik elemen seram ke dalam rekabentuknya, menghasilkan Dark Kelembai. Penggunaan warna-warna gelap yang kontras dan disandarkan dengan warna latar belakang menguatkan lagi ambiens Dark Kelembai ini.

12 Penyertaan Keseluruhan: dwen_ke70 (2), Tangh, kromosom, Leydi, narami_san, d4z, Terrible Shogun, stingray_flyz, bickbong, popiaman dan invictus.

Untuk melihat penyertaan keseluruhan: Topik Undian 008